Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan RM3,000 kepada penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri sebagai penghargaan atas dedikasi mereka.

Beliau berkata pembayaran bantuan kepada 5,031 penjawat awam itu akan dibuat secara berperingkat, iaitu pada Disember ini serta Februari dan Ogos tahun hadapan.

"Kerjasama erat antara kepimpinan politik dengan jentera pentadbiran ialah kunci kejayaan kita dalam membangunkan Negeri Kedah yang kita cintai ini.

"Sebagai menghargai usaha keras ini, sukacita diumumkan kerajaan negeri telah meluluskan bantuan khas kewangan ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini ialah RM15 juta," katanya.

Muhammad Sanusi mengumumkan pemberian bantuan khas itu semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Alor Setar.

-Bernama