Perwakilan Pejuang bangun bersorak sambut Dr M
Lebih 500 perwakilan Pejuang bangun dan bersorak ketika Dr Mahathir Mohamad memasuki dewan dengan kerusi roda di Shah Alam hari ini, dalam penampilan pertamanya di acara politik sejak isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, meninggal dunia.
Bekas perdana menteri berusia 101 tahun itu tiba ketika anaknya, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, sedang mengakhiri ucapan dasar pada perhimpunan agung parti itu kali keempat.
Ucapan khas yang disediakan Mahathir untuk perhimpunan itu dibacakan oleh Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali kerana suara bekas perdana menteri itu agak lemah.
Pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasarnya, Mukhriz berkata keadaan kesihatan bapanya menyukarkan dia menghadiri acara seperti itu. Katanya, perhimpunan itu merupakan majlis besar pertama yang dihadiri Mahathir sejak September.
“Kita tahu minda dia sangat aktif. Dia boleh karang ucapan, tapi suara tak berapa nak dengar.
“Dia tanya boleh Rafique baca? Saya kata okay,” kata Mukhriz.
/file/attachments/orphans/image8_675288.jpeg)
Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemerhatian pada 29 Sept, sehari selepas Hasmah meninggal dunia. Setiausaha akhbarnya, Sufi Yusoff, berkata ketika itu Mahathir keletihan akibat tekanan dan kurang tidur.
Pada 13 Okt, anak perempuannya Marina berkata Mahathir semakin aktif dan selera makannya sudah kembali, namun dia masih dirawat di IJN.
Pada Januari lalu, Mahathir turut dirawat di IJN selepas mengalami keretakan pada pinggul kanan akibat terjatuh di rumah. Doktor memilih fisioterapi sebagai kaedah rawatan.
Pilih yang kurang memudaratkan
Dalam ucapan khasnya, Mahathir berkata rakyat, terutama orang Melayu, berdepan dua pilihan politik yang masing-masing mempunyai masalah pokok. Dalam keadaan itu, katanya, mereka perlu memilih jalan yang kurang memudaratkan.
Mahathir tidak menamakan kedua-dua pilihan itu. Menurutnya, satu pilihan akan meminggirkan agama, bangsa serta falsafah negara ini sebagai Tanah Melayu, manakala satu lagi kelihatan seperti menghalalkan kemungkaran.
“Kita sudah boleh lihat mana satu yang lebih mudarat. Manakala yang satu lagi itu kita masih ada harapan untuk berlaku perubahan dan jika perlu, melawannya dari dalam, atau pun menjadikan perjuangan baru kita selepas kita dapat memastikan kelangsungan kewujudan kita itu sendiri.
“Bagaimanapun, ini cuma pandangan saya,” katanya.
Mahathir menyifatkan peribahasa “di telan mati emak di luah mati bapak” sebagai gambaran paling tepat tentang dilema itu.
‘Kitaran itu kelihatannya hampir lengkap’
Mahathir turut mengakui pencapaian Pejuang sepanjang enam tahun sejak ditubuhkan kurang menggalakkan, namun berkata perkembangan politik selepas itu membuktikan pendirian parti itu ada asasnya.
Dalam sindiran yang dipercayai ditujukan kepada Bersatu, Mahathir berkata tindakan bekas partinya tergesa-gesa keluar daripada kerajaan mencetuskan kucar-kacir politik sehingga kepimpinannya jatuh daripada tampuk kuasa.
Pengasas Pejuang itu kemudian dilihat menyindir Wawasan apabila berkata ramai dalam kalangan mereka yang terbabit memecatnya dan sekutunya daripada Bersatu kini turut dipecat dan terpaksa menubuhkan parti lain.
Katanya, mereka yang dahulunya tidak sabar mahu keluar daripada kerajaan kerana menolak parti-parti komponennya kini dilihat kembali mendekati parti-parti berkenaan.
“Kitaran atau pusingan itu kelihatannya hampir lengkap,” katanya.
Mahathir berkata pertukaran jajaran politik bukan perkara luar biasa, namun parti perlu menetapkan batas dalam berkompromi. Bagi orang Melayu beragama Islam, katanya, tindakan yang bercanggah dengan hukum Islam dan adat resam tidak boleh dihalalkan demi mencapai matlamat.
“Perkara utama ialah di dalam politik tidak ada sahabat yang kekal. Yang kekal cuma matlamat,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/image7_135885.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.