Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor bantah projek nyamuk 'pendekar'
Diterbitkan:  Apr 30, 2008 7:12 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Kerajaan Selangor membantah sekeras-kerasnya rancangan melepaskan berjuta-juta nyamuk "pendekar" untuk melawan aedes bagi mengawal peningkatan kes denggi, kata exco kesihatan negeri Dr A Xavier Jayakumar.

Sebuah syarikat Britain dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dilaporkan sedang merancang melepaskan jutaan nyamuk "pendekar" - yakni spesies jantan Aedes aegypti yang telah dijuruterakan genetiknya (GE) - di Pulau Ketam, Selangor untuk menguji keberkesanan kawalan biologi tersebut.

estate worker suhakam chairman resignation 080207 xavier jayakumar Mengulas laporan media tentang rancangan tersebut, pengerusi jawatankuasa tetap kesihatan Selangor menyifatkan ujikaji itu "hentam keromo dan tidak terkawal dengan teknologi yang berbahaya."

Kerajaan negeri membantah, kata Dr Xavier, kerana ujian-ujian lepas terhadap serangga GE telah menunjukkan kegagalan.

"Semua kajian IMR sebelum ini dijalankan di persekitaran yang dikawal sepenuhnya, maka tidak terdapat cara menilai mudarat ekologi dan dampak alam sekitar jangka panjang melepaskan nyamuk GE itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IMR, sebuah institut bawah Kementerian Kesihatan, dengan kerjasama syarikat Oxitec Ltd, yang ada hubungan dengan Universiti Oxford, dilaporkan bercadang melepaskan nyamuk-nyamuk "pendekar" itu akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Ujian di pulau nelayan itu selepas kejayaan kajian peringkat makmal yang dijalan oleh IMR, lapor New Sunday Times hujung minggu lalu.

Ujian lapangan itu bagi memerangi denggi yang menjadi penyakit bawaan vektor yang kian serius di negara ini.

Mulai 2003, penyakit ini meningkat 16 peratus setiap tahun. Pada 2004, kes kematian mencecah rekod tertinggi apabila 102 menemui ajal, manakala tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan 9,800 kes dengan 25 kematian.

Dr Xavier berkata sains menunjukkan mudarat ekologi akibat membebaskan organisme GE selalunya "tidak dapat dipulihkan lagi".

"Saya sangat khuatir mudarat yang mungkin timbul dan akibat jangka panjang yang harus dilalui oleh penduduk Selangor dan harga yang mereka bayar jika ujikaji ini mengalami kesilapan," katanya.

"Kita harus faham bahawa dengan melepaskan nyamuk-nyamuk ini, kita tidak dapat menduga sejauh mana ia akan berkeliaran dan kemungkinan ia mengalami interaksi dan mutasi dengan ekosistem sedia ada."

Semalam, Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut membantah keras cadangan tersebut.

Presidennya S M Mohamed Idris berkata apabila organisme yang dijuruterakan genetiknya dilepaskan ke persekitaran, ia tidak boleh lagi ditarik balik seumpama barangan yang dipasarkan.

"Kami mendesak kerajaan menghentikan semua kajian tentang aedes yang diubah genetiknya, termasuk ujian di lapangan, dan menyalurkan dana dan usaha kajian ke arah kaedah-kaedah mesra alam untuk mengawal denggi," katanya.

"Jika ia bercampur dan membiak silang dengan hidupan lain yang sama, atau lebih, berbahaya dengan aedes, tidak ada jalan untuk kita menghalang proses ini."

ADS