Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan ahli perniagaan Tan Kok Ping terhadap perintah Mahkamah Tinggi agar beliau membayar ganti rugi sebanyak RM350,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam satu kes saman fitnah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Azizul Azmi Adnan, Aliza Sulaiman dan Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam K. Kirubakaran, yang mewakili Tan, dan peguam K. Simon Murali bagi pihak Chow.

Pada 3 Dis 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tan membayar ganti rugi berjumlah RM350,000 setelah memutuskan kenyataan beliau dalam sidang media pada 18 Okt 2023 mengandungi unsur fitnah.

Hakim Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon mendapati kenyataan Tan, yang disiarkan oleh enam akhbar berbahasa Cina dan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris, menyebabkan reputasi Chow terjejas teruk.

Pada prosiding hari ini, Kirubakaran berhujah bahawa Quay terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa kenyataan itu berunsur fitnah.

Beliau berkata Chow hanya mengemukakan terjemahan Bahasa Melayu bagi maksud perkataan yang didakwa berunsur fitnah dalam pernyataan tuntutannya namun dalam pernyataan saksi, Ketua Menteri berkenaan menghuraikan makna dengan memberikan tafsiran yang lebih memudaratkan berbanding maksud asal yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan.

Kirubakaran berkata Chow tidak sepatutnya dibenarkan bergantung pada maksud yang bersifat lebih fitnah berbanding apa yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutannya kerana tindakan sedemikian tidak adil terhadap Tan, dan plaintif terikat dengan pliding yang dikemukakan.

Beliau juga berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menerima penjelasan Chow yang bersifat memihak kepada diri sendiri berhubung kenyataan yang dipertikaikan itu.

“Tiada keterangan dikemukakan daripada anggota masyarakat, pihak ketiga atau pakar Bahasa Cina mengenai makna dan kesan kenyataan yang dipertikaikan itu terhadap Chow,” katanya.

Simon Murali pula menggesa mahkamah supaya menolak rayuan Tan atas alasan penghakiman Mahkamah Tinggi adalah tepat dan tidak mengandungi sebarang kesilapan yang boleh dijadikan alasan untuk merayu.

Beliau juga berkata Mahkamah Tinggi meneliti fakta yang relevan dengan betul dan mengaplikasikan prinsip undang-undang yang tepat ketika memutuskan bahawa Tan didorong oleh niat jahat semasa membuat kenyataan berunsur fitnah itu.

Simon Murali berhujah tiada kesilapan yang boleh dirayu dalam dapatan Mahkamah Tinggi, iaitu pembelaan justifikasi dikemukakan Tan tidak dapat dipertahan, begitu juga dengan pembelaan keistimewaan bersyarat dan komen adil yang dibangkitkan oleh ahli perniagaan berkenaan.

Chow memfailkan saman fitnah terhadap Tan, yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang pada Januari 2024, berhubung kenyataan ahli perniagaan itu mengenai penjualan tanah negeri di Batu Kawan.

- Bernama