Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tahap kesihatan belum pulih tidak menghalang bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit memasang harapan untuk membela nasib artis kurang bernasib baik sepertinya di Malaysia.

Semasa diwawancara, Yazit atau nama sebenarnya Yazid Ahmad menguatkan semangatnya untuk terus berbicara mengenai harapan dan pandangannya terhadap masa depan artis tempatan.

“Saya nak buat satu perkara yang mungkin dulu tidak pernah terfikir.

“Mungkin ia boleh dijadikan satu kaedah untuk membantu artis negara ini,” katanya ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Pemuzik berusia 53 tahun itu membayangkan untuk menubuhkan pertubuhan yang dapat menyalurkan bantuan kewangan dan perubatan khusus membela artis yang senasib dengannya.

Kata Yazit, persatuan berkenaan akan memberi perhatian kepada masalah kesihatan artis dan menyalurkan bantuan jika disahkan layak.

“Andai kata mereka tidak berduit untuk beli ubat dan malu meminta-mina, inilah cara yang boleh dibuat,” katanya.

Tegas Yazid, jika pertubuhan kebajikan itu menjadi realiti, artis yang uzur tidak perlu lagi ke sana sini menagih simpati daripada orang ramai untuk mendapatkan bantuan serta simpati.

Sementara itu isteri Yazit, Ramlah Ahmad berkata suaminya mula menghidap masalah buah pinggang dan kesihatan tidak stabil sejak enam tahun lalu.

“Setiap malam abang (Yazit) susan nak tidur kerana sesak nafas. Situasinya tidak stabil ditambah pula kaki membengkak dan sakit belakang,” katanya.

Di sebalik kesetiaannya menemani Yazit, Ramlah mengakui dirinya juga kadang kala tidak sihat dan demam.

Rutin hariannya untuk Yazit bermula sejak pagi dan berlanjutan hingga ke pagi keesokan hari. Semua dilakukan demi Yazid yang masih menunggu penderma buah pinggang.

“Saya teman abang dari pagi, pukul 2 atau 3 pagi baru balik. Sekarang dah berusia, kadang-kala tidak mampu nak teman lama dan terpaksa pulang ke rumah,” katanya.

Terlantar di Hospital Ampang sejak 3 Ogos lalu, Yazid memerlukan belanja yang menelan kos hingga RM200,000 bagi rawatan buah pinggang.

Lihat Komen
ADS