Bersama mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya menggunakan peluang berucap pada majlis makan malam mega kutipan dana pilihan raya DAP di Melaka malam ini untuk menjawab beberapa isu berbangkit dan bukannya sekadar menyampaikan ucapan kempen.

Ketika ditemui Malaysiakini selepas ceramah Bersama di Sungai Udang malam tadi, pemimpin parti itu, Lee Chean Chung, menggesa Anwar mengambil kesempatan tersebut untuk menjawab isu yang dibangkitkan pemimpin DAP dan masyarakat Cina.

Antaranya ialah desakan DAP supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan keputusan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah didedahkan kepada umum.

Selain itu, DAP sebelum ini mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat skandal "mafia korporat", selain menuntut kes kematian Teoh Beng Hock diselesaikan.

Lee turut membangkitkan kekecewaan masyarakat Cina terhadap rancangan Kementerian Pendidikan mengurangkan waktu pengajaran bahasa Mandarin di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menerusi kurikulum baru yang akan dilaksanakan tahun depan.

Menurut laporan, kurikulum baru itu akan mengurangkan waktu pengajaran bahasa Mandarin bagi murid Tahun Satu dan Dua di SJKC daripada 12 kepada 10 waktu seminggu.

Sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan bahawa guru besar masih mempunyai kuasa untuk menambah waktu pengajaran.

Menurutnya, persetujuan dicapai dengan pertubuhan guru besar supaya dua waktu tambahan diberikan kepada mata pelajaran bahasa Cina.

Majlis makan malam yang akan berlangsung di dewan Sekolah Menengah Pay Fong malam ini mendapat sambutan menggalakkan apabila kesemua 170 meja habis dijual.

Perkara itu disahkan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.

Selain Anwar, pemimpin kanan PH yang dijadual berucap ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Cabaran Bersama di Sungai Udang

Ketika PH menggerakkan penyokong untuk menghadiri majlis makan malamnya, Bersama pula berdepan cabaran untuk mendapatkan sokongan pengundi di kawasan seperti Sungai Udang.

Kira-kira 20 orang menghadiri ceramah parti 'kancil' itu di kawasan berkenaan malam tadi. Lee dan seorang lagi penceramah, Wong Chen, turut menerangkan tawaran manifesto Bersama.

Kedua-duanya turut mengkritik gabungan pemerintah. Lee menyifatkan manifesto PH bagi pilihan raya negeri itu terlalu ringkas, selain mempersoalkan BN yang hanya akan melancarkan manifestonya pada Jumaat ini.

Mengenai peluang Bersama dalam pilihan raya kali ini, Lee berkata parti itu masih menyasarkan semua calonnya berjaya mempertahankan wang deposit.

Menurutnya, gambaran lebih jelas mengenai kedudukan parti itu hanya dapat dilihat selepas hujung minggu ini, yang disifatkannya sebagai "hujung minggu keemasan".

Sungai Udang, yang terletak kira-kira 30km dari bandar Melaka, mempunyai majoriti pengundi Melayu iaitu 77.9 peratus.

Pengundi bumiputera Sabah dan Sarawak membentuk 9.7 peratus daripada keseluruhan pengundi, diikuti masyarakat Cina (8.6 peratus) dan India (2.7 peratus).

Bersatu memenangi kerusi itu atas tiket PN dalam pertandingan empat penjuru pada pilihan raya negeri 2021.

Pada 14 Nov ini, Bersama dan BN akan berdepan Bersatu dalam pertandingan tiga penjuru, manakala PH tidak bertanding di kerusi berkenaan.