Menjelang tengah malam Selasa, Parti Demokrat berjaya mengubah pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) 2026 sebagai apa yang disebut "gelombang biru", seperti diramalkan penganalisis.

Namun, menjelang pagi Rabu, skala kemenangan itu semakin besar sehingga disifatkan sebagai "tsunami biru", sekali gus mengejutkan penganalisis politik yang paling optimistik sekalipun.

Mulai Januari, Demokrat dijangka menguasai Dewan Perwakilan dengan sekurang-kurangnya 237 kerusi berbanding 139 kerusi Republikan. Mereka juga dijangka menguasai Senat dengan kelebihan 54 berbanding 44 kerusi.

Calon Demokrat berjaya merampas tujuh kerusi Senat yang sebelum ini dikuasai Republikan dalam persaingan sengit. Antaranya termasuk beberapa kawasan yang selama puluhan tahun menjadi kubu kuat Republikan di negeri-negeri yang cenderung menyokong parti itu.

Di Texas, James Talarico dipilih sebagai senator Demokrat pertama negeri itu sejak 1988. Negeri berkenaan turut memilih Gina Hinojosa sebagai gabenor Demokrat pertama dalam tempoh lebih 30 tahun.

Kansas, sebuah negeri di tengah AS yang terjejas akibat kenaikan harga diesel dan tarif, turut menghantar calon Demokrat, Adam Hamilton, ke Senat buat kali pertama dalam tempoh lebih 90 tahun.

Kemenangan mengejut Demokrat di negeri-negeri yang selama ini menjadi kubu kuat Republikan turut berlaku di Iowa, Carolina Selatan dan Ohio.

Menurut analisis data The New York Times, Demokrat mendahului Republikan sebanyak 13 mata peratusan dalam undian popular bagi Dewan Perwakilan. Ini merupakan jurang kemenangan terbesar sejak 1976, selepas skandal Watergate yang membawa kepada kehancuran pentadbiran Presiden Republikan, Richard Nixon dua tahun sebelumnya.

Demokrat juga mencatat peningkatan sokongan dalam hampir semua kelompok pengundi berbanding pilihan raya presiden 2024 yang membawa Donald Trump ke Rumah Putih. Perkembangan itu menunjukkan perubahan sokongan politik yang meluas, menjauhi Republikan.

Jumlah sebenar majoriti Demokrat dalam kedua-dua dewan Kongres mungkin hanya diketahui lewat Rabu atau Khamis kerana beberapa keputusan masih terlalu sengit untuk diumumkan, manakala proses pengiraan undi di sesetengah kawasan mengambil masa lebih lama.

Demokrat janjikan perubahan susulan kemerosotan populariti Trump

Pilihan raya pertengahan penggal itu dilihat sebagai referendum terhadap Presiden Donald Trump, yang mencatat kadar kelulusan terendah dalam sejarah presiden AS, iaitu sekitar 38 peratus menjelang hari pengundian.

Trump berkempen secara berterusan pada minggu-minggu sebelum pilihan raya, namun ucapannya sering meleret dan jumlah penyokong yang hadir semakin berkurangan.

Demokrat mengambil kesempatan daripada ketidakpuasan rakyat terhadap dasar Trump, termasuk perang dengan Iran dan kenaikan harga bahan api ke paras tertinggi dalam sejarah.

Keadaan itu memburukkan lagi krisis kos sara hidup, ketika Trump turut berdepan kritikan kerana didakwa memperkayakan dirinya sendiri.

Pada Rabu, Ketua Demokrat di Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries, berkata partinya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha menangani kos sara hidup dan memastikan pihak berkuasa bertanggungjawab atas tindakan mereka.

"Sudah berakhir zaman Dewan Perwakilan berfungsi seperti anak syarikat milik penuh pentadbiran Trump," katanya.

Jeffries berpeluang menjadi individu kulit hitam pertama yang memegang jawatan Speaker Dewan Perwakilan mulai Januari.

Demokrat berkata mereka bersedia melaksanakan agenda 100 hari pertama bagi mengurangkan kos bahan api, barangan keperluan harian dan penjagaan kesihatan.

Mereka juga merancang memperluas pengawasan serta menjalankan siasatan terhadap Trump dan pentadbirannya.

Ketika ditanya sama ada Demokrat akan cuba memecat Trump atau anggota Kabinetnya atas pelanggaran undang-undang ketika memegang jawatan, Jeffries berkata perkara itu bukan keutamaan parti buat masa ini.

Majoriti Demokrat di Senat bagaimanapun masih belum mencapai dua pertiga kerusi yang diperlukan untuk mensabitkan Trump dalam prosiding pemecatan atau mengatasi veto presiden tanpa sokongan parti lain.

Walaupun Trump bakal menjadi presiden tempang dalam tempoh dua tahun terakhir penggalnya, dia masih mempunyai kuasa eksekutif yang luas, khususnya dalam menentukan dasar luar negara.

Republikan mula saling menyalahkan

Trump selama berbulan-bulan mendakwa Demokrat akan menipu untuk memenangi pilihan raya, namun dia tidak mempertikaikan kekalahan besar partinya.

Sebaliknya, Trump mendakwa Republikan akan menang sekiranya namanya turut tertera pada kertas undi.

Bagaimanapun, Trump berkata dia bersedia bekerjasama dengan Demokrat, meskipun pada masa sama berikrar menggunakan kuasa veto untuk menghalang rang undang-undang yang tidak dipersetujuinya.

Ketika bercakap kepada wartawan pada Rabu di luar tapak pembinaan dewan tari-menari di Rumah Putih, Trump seolah-olah mengakui kesan ekonomi akibat perang Iran menjadi antara punca kekalahan Republikan.

"Saya fikir perkara itu sebahagian besarnya benar kerana ia menyebabkan harga petrol meningkat sedikit dalam jangka pendek," katanya.

Lebih awal pada hari yang sama, Naib Presiden JD Vance memberikan penjelasan lebih terus terang apabila menyifatkan perang Iran sebagai "sebab kami kalah".

Bagaimanapun, sebahagian besar masa Trump ketika berhadapan wartawan pada Rabu dihabiskan dengan bercerita mengenai projek pembinaan dewan tari-menari itu.

"Ia bukan sahaja akan menjadi antara dewan tari-menari terbesar, malah saya fikir paling cantik di seluruh dunia," katanya.