Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Umie Aida #staystrong
Diterbitkan:  Sep 23, 2015 6:28 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Bagaikan sudah terdetik - begitu naluri seorang isteri apabila suaminya dibebaskan daripada tahanan reman dan ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Kuala Lumpur petang ini.

Mengemas kini statusnya di Facebook Datin Umie Aida Rahmad membayangkan hatinya bagaikan menjangka pembebasan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak bertahan lama.

"Abang telah dibebaskan dari Akta 124 C. Tak sampai 5 minit abang ditahan semula untuk Akta 124K dan 124L," kata beliau.

Status itu turut dimuat naik di Instagram beliau.

Khairuddin ditahan polis di rumah mereka pada Jumaat dan direman pada Sabtu. Majistret kemudian membenarkan ahli perniagaan itu direman selama enam hari.

Beliau sepatutnya dibebaskan esok.

Khairuddin yang pernah menjadi penerbit buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri disiasat atas dakwaan cuba menjatuhkan kerajaan.

Beliau dibebaskan daripada reman kira-kira jam 4.40 petang tadi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta tetapi ditahan semula mengikut akta yang juga dikenali sebagai Sosma.

Seksyen 124k dan 124L Sosma adalah peruntukan mengenai perlakuan sabotaj dan cuba untuk mensabotaj negara.

Umie Aida, 42, yang dikenali sebagai pelakon memasukkan hashtag #staystrong dalam kemas kini di Facebook beliau.

Benar sungguh naluri ku..apa yg bakal terjadi. Abg telah dibebaskan dari akta 124C .. tak sampai 5mins abg telah ditahan semula utk akta 124K & 124L ..under Sosma. Subhanallah.. #staystrong

A photo posted by Umie Aida (@umieaida818) on

Status itu segera mendapat reaksi daripada rakan dan pengikut Umie Aida di Facebook serta Instagram.

Boleh dikatakan semua mereka memberikan kata perangsang kepada pelakon Puaka Tebing Biru dan Kala Malam Bulan Mengambang itu.

suami saya telah ditahan atas akta 124C. Semoga esok segalanya dpt diselesaikan dgn baik. InshaAllah.. me doakan Allah sentiasa melindungimu.. Aamiin.. 😢

A photo posted by Umie Aida (@umieaida818) on

Mengikut peruntukan Sosma, seseorang boleh ditahan tanpa didakwa di mahkamah sehingga 29 hari.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, polis menganggap tindakan Khairuddin menggunakan saluran perundangan asing untuk mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia berhubung isu 1MDB adalah langkah mensabotaj negara.

Lihat Komen
ADS