Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pembunuhan Christina The Voice buat Gwen menggigil
Diterbitkan:  Jun 15, 2016 2:15 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Pembunuhan peserta program realiti televisyen AS, The Voice, minggu lalu benar-benar meninggalkan kesan terhadap penyanyi Gwen Stefani dan semua juri yang mengadili rancangan itu.

Kata Gwen dia amat terkejut dan gerun mendengar perkhabaran mengenai kematian Christina Grimmie.

Christina adalah peserta musim keenam The Voice manakala jurinya terdiri daripada Adam Levine, Blake Shelton, Shakira dan Usher.

Walaupun tidak menjadi juri ketika Christina mencuba nasib pada musim berkenaan, Gwen, 46, bukanlah tokoh yang asing dalam The Voice.

Gwen dipilih menjadi juri untuk The Voice musim ketujuh dan kesembilan.

Christina berada dalam kumpulan Levine dan berakhir di tempat ketiga pada musim berkenaan yang disiarkan pada 2014.

Bintang YouTube itu tinggal di kawasan Evesham - sebuah kawasan petempatan kecil terletak kira-kira 32 kilometer dari Philadelphia - sebelum berpindah ke Los Angeles pada 2012.
 

 

Kata Gwen berita pembunuhan Christina membuatkan dia bukan saja ketakutan malah seperti "tidak berdaya."

Penyanyi kelahiran New Jersey, Christina, 22, ditembak pada 11 Jun lalu ketika sedang menandatangani autograf bersama peminatnya. Kejadian berlaku selepas konsert diadakannya di Orlando berakhir.

Lelaki itu kemudian membunuh diri.

Menurut pihak berkuasa, lelaki yang menjadi suspek dalam kes terbabit langsung tiada kaitan dengan Christina.

Selain menjadi juri, Gwen adalah vokalis kumpulan No Doubt dan kini menjalin hubungan cinta dengan Blake.

Sementara itu media melaporkan mentor Christina, Levine menawarkan untuk membiayai semua kos urusan mayat dan pengebumian berkenaan.

 

Jurucakap Levine, Carleen Donovan, mengesahkan perkara itu hari ini.

New Jersey akan mengadakan majlis memperingati Christina pada malam Isnin depan. 

Motif serangan dan pembunuhan itu masih belum disahkan pihak berkuasa.

Lihat Komen
ADS