Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert 30 Tahun Wings di Sabah hargai atlet Paralimpik

Kumpulan rock tersohor tanah air, Wings sekali lagi bakal melakar sejarah apabila merancang mengadakan Konsert Wings 30 Tahun Live@ Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember depan.

Menariknya, konsert Wings kali ini diadakan untuk mengangkat martabat golongan kurang upaya dan bagi menghargai sumbangan atlet Paralimpik yang menyertai temasya sukan berkenaan baru-baru ini.

Sekiranya perjalanan diatur berjalan lancar, atlet Paralimpik Filicia Mikat bakal dijadikan ikon dalam konsert itu nanti.

Menurut vokalis Wings, Awie, persiapan bagi konsert ini sudah berjalan sebanyak 60 peratus dan mendapat sokongan daripada ketua menteri Sabah.

"Kami masih menunggu keputusan ketua menteri dan percaya kelulusan itu akan menjadikan konsert ini lebih hebat lagi," katanya pada sidang media pelancaran konsert berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah anggota Wings yang terdiri daripada Joe (gitaris), Black (dram) dan Eddie (basis).

Menurut Awie, hasil kutipan tiket yang diperoleh akan diserahkan kepada Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sabah (PERSON).

"Doakan ia berjaya kerana kami akan menyumbangkan sebanyak mungkin kepada PERSON," katanya.

Konsert di Sabah itu diadakan selepas kejayaan memberansangkan Konsert Wings 30 Tahun di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 31 Oktober dan 25 Disember tahun lalu.

Pemenang tiga pingat emas

Felicia, anak jati Sabah yang berasal dari Kampung Kipaku Tambunan pernah mengharumkan nama negara selepas memenangi tiga pingat emas bagi acara olahraga dalam Sukan Para Asean ke-8 di Singapura tahun lalu.

Kejayaan Felicia dirasakan Wings sama seperti pengalaman kumpulan itu dalam mengharungi cabaran sebagai artis rock.

Selain Sabah, Konsert Wings 30 Tahun Live @Kota Kinabalu Sabah itu juga bertujuan menghimpunkan seluruh peminat Wings di Borneo termasuk Sarawak dan Brunei.

Kembalikan era kegemilangan rock

Bagi menjayakan Konsert Wings 30 Tahun Live @ Kota Kinabalu Sabah, Wings memilih konsep Back to 80's.

Ia bertujuan mengembalikan kegemilangan dan nostalgia era rock tahun 1980an.

Selain itu, kepuasan ke atas penonton pada konsert di Kuala Lumpur dan Johor Bahru juga dikekalkan dengan menyediakan tenaga produksi, peralatan teknikal, sistem bunyi dan pencahayaan yang sama.

Bagi menguar-uarkan promosi konsert, sebuah acara, Sabah Big Bike Ride akan diadakan pada 15 hingga 24 Disember depan bagi bertemu peminat dan menggalakkan jualan tiket di seluruh negeri Sabah.

Dampingi peminat

Peminat berpeluang bertemu rombongan bermotosikal berkuasa tinggi bermula di Kota Kinabalu termasuk Labuan, Tawau Sandakan dan Kundasang.

"Wings mahu mendampingi peminat dan langkah ini dirasakan dapat memenangi hati mereka berbanding mengiklankan konsert di dalam akhbar.

"Tetapi ada cabaran iaitu perjalanan itu tidak seperti di semenanjung kerana ia lebih jauh dan berbahaya," katanya.

Dalam pada itu, peminat bakal menyaksikan persembahan bertenaga daripada 10 kumpulan sebagai acara pembukaan tribute kepada Wings bermula seawal jam 1 petang antaranya Anugerah, Chromatic, Roktrus dan D Shelter.

Pada sebelah malam pentas akan dihangatkan lagi dengan persembahan artis popular Sabah seperti Abu Bakar Ellah, Akim dan Aweera.

Tiket dijual dari harga serendah RM50 hingga RM1,000 dan jualan tiket dibuka bermula hari ini.

Lihat Komen
ADS