Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Srengenge di TV itu janggal tapi bersangka baiklah

Pihak produksi telefilem Srengenge sudah mencuba sehabis baik bagi menterjemah karya Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad itu ke kaca televisyen namun mengakui ia tidaklah memuaskan hati semua pihak.

Antara kelemahan yang dilihat ketara ialah kegagalan pelakon melafazkan dialog mengikut latar tempat yang sebenar.

Ketika telefilem itu ditayangkan pada 27 Mei lalu, media sosial agak sibuk dengan teguran dan kritikan mengenai karya arahan Jack - atau Mahuddin - Ibrahim itu.

Selain gagal menggambarkan loghat Kedah yang lebih meyakinkan, sesekali pelakon dikesan 'tersasul' melafazkan ungkapan yang sepatutnya.

Lebih daripada itu, latar tempat Srengenge - di Sik, Kedah - juga sebenarnya memerlukan dialog bukan sekadar memaparkan loghat biasa, sebaliknya lebih daripada itu.

“Memang asalnya kami mahu menggunakan bahasa Kedah 100 peratus, tetapi penduduk di Sik bercakap loghat yang bukan biasa kita dengari. Ia lebih macam bahasa Siam.

“Selepas berbincang dengan penerbit, kami bersetuju untuk menggunakan bahasa yang mudah difahami memandangkan ia sebuah karya besar Sasterawan Negara," kata Jack kepada Malaysiakini hari ini.

 

 

 

 

Menurutnya, pihak produksi menyedari isu kelemahan bahasa itu tetapi pada masa sama ingin semua orang lebih mudah memahami kisah di sebalik Srengenge.

Justeru, selain dialog telefilem itu turut menggunakan sarikata.

Pelakon ada kaitan Kedah

Srengenge yang mengisahkan kehidupan orang kampung berdepan dengan bukit yang dipercayai mempunyai kuasa keramat.

Seorang daripada penduduk di situ, Awang Cik Teh, mahu kepercayaan itu dipadamkan dengan menyarankan kawasan bukit berhutan itu dipugar untuk dibuat huma.

Pemenang tiga anugerah pelakon lelaki terbaik festival filem Malaysia, Eman Manan diberi kepercayaan membawa watak utama - Awang Cik Teh - bersama pelakon lain, termasuk Sahronizam, Fadilah Mansor, Jasmin Hamid dan Fathil Dani.

Rasa tidak puas itu turut melibatkan dialog diucapkan Eman Manan.

Walaupun diadaptasi dari novel Srengenge yang pernah diangkat sebagai novel terbaik oleh Panel Hadiah Karya Sastera 1973, pelaksanaan serta penyampaian supertelefilem itu jauh berbeza.

Pun begitu, Jack tetap berpuas hati terhadap usaha dilakukan syarikat penerbitan Arca Creative House dan RTM.

Katanya, bukan mudah untuk mana-mana stesen penyiaran atau penerbit menyiarkan karya dari seorang penulis besar seperti Shahnon yang biasanya menyampaikan mesej tersurat.

Katanya, tidak banyak novel Shahnon diangkat dalam bentuk drama kerana menelan kos tinggi, malahan stesen televisyen pun bukan senang hendak menyiarkan naskhah sebegitu.

“Biarlah kita ambil dari sudut niat, bersangka baiklah. Lagi pun sudah lebih 40 tahun novel itu tidak diterbitkan dalam bentuk selain novel.

“Sekurang-kurang usaha ini boleh memberi gambaran jelas mengenai kisah Srengenge kerana kalau tidak, mungkin budak-budak hidup pada era ini tidak tahu pun apa itu Srengenge,” katanya.

Sementara itu, mengenai pemilihan pelakon, kata Jack, ia dicadangkan oleh stesen penyiaran.

“Untuk watak macam itu (Awang Cik Teh) kita memang boleh saja ambil anak kelahiran Kedah tetapi kami tidak pasti dengan kemampuan pelakon lain untuk menzahirkan watak sebaik Eman Manan.

“Tetapi selain Eman dan Jasmin Ahmad, pelakon lain memang mempunyai kaitan dengan Kedah, malah kami juga mempunyai guru ditugaskan untuk mengajar cara bercakap mengikut dialek setempat,” katanya.

Lihat Komen
ADS