Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Legenda Cun didakwa terkeliru makna cantik
Diterbitkan:  Jun 7, 2017 6:14 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Kurang dari 24 jam selepas memuat naik iklannya di media sosial, syarikat rangkaian penjual barangan penjagaan diri Watsons menjadi sasaran kecaman banyak pihak.

Semuanya gara-gara penampilan beberapa watak yang dianggap tidak sensitif serta mengelirukan.

Antara aspek yang menjadi rugutan orang ramai ialah watak gadis berkulit hitam legam serta jenaka yang memperbodohkan orang lain.

Iklan itu yang dihasilkan dengan kualiti penyiaran yang baik menampilkan sejumlah selebriti termasuk Ruhainies, Uqasha Senrose, Sasha Saidin, Amber Chia, Kamal Adli, Raja Ilya, Thanuja, Najua P Ramlee dan Bell Ngasri.

Isu utama yang dipertikaikan ialah bagaimana komersial berkenaan seakan-akan memberi takrif "cantik" dengan kulit putih dan sebaliknya hitam dianggap hodoh.

Komersial itu juga memperlihatkan berbadan gempal sebagai seseorang yang ditertawakan.

Sehingga petang ini iklan itu sudah dikongsi hampir 2,000 kali.

Komentar pengguna Facebook pula pelbagai dengan sesetengahnya mengecam iklan Legenda Cun berkenaan.

Kisah orang kaya

Han Wafiz menulis: "Putih itu cantik? Tak. Hati dan akal yang baik adalah cantik. Yu've just lost a regular customer (Anda baru saja kehilangan seorang pelanggan setia)."

Rox CeMat pula menulis: "Sebelum ni tak sabar nak tengok, apabila dah keluar cerita penuh.. rasa kecewa sungguh..tak ada rasa nak tengok lagi sekali."

Sementara tu Rosli Bin Napiah Napiah Kami pula berkata: "Kami orang Islam tak sambut Syawal macam ni...."

Di sisi lain ada juga peminat untuk iklan itu.

Sharifah Fairuz misalnya menulis: "Terbaik...iklan ala drama komedi raya yang paling win...

Nurafidah Mustaffa pula berpendapat iklan berkenaan tidak bersifat rasis, malah mengaitkan ia dengan cerita rakyat Bawang Putih Bawang Merah.

"Apebende la racist.. abis bawang besar dengan bawang kecik tu.. korang tak rasa ke mereka insensitive... mempermainkan orang badan besar (dengan) letak nama bawang besar...rileks sudah la.." tulisnya.

Secara umum iklan Watsons itu mengisahkan seorang saudagar kaya, Al-Kazam, mencari pasangan hidupnya dan ia ditampilkan dalam bentuk jenaka.

Untuk itu diadakan pencarian wanita yang jelita dan dapat menambat hati Al-Kazam.

Malaysiakini sudah menghubungi Watsons untuk mendapatkan reaksi berhubung iklan berkenaan petang tadi.

Bagaimanapun Watsons kemudian mengumumkan mereka meminta maaf atas penyiaran klip video berkenaan. Semakan juga mendapati klip video berkenaan sudah diturunkan.

Lihat Komen
ADS