Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Julia Perez meninggal dunia
Diterbitkan:  Jun 10, 2017 2:52 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Selebriti terkenal Indonesia, Julia Perez, meninggal dunia hari ini selepas bertarung sekian lama menghadapi mengidap barah pangkal rahim peringkat keempat.

Keadaan aktres yang lebih mesra disapa Jupe itu dilaporkan semakin memburuk sejak Februari lalu.

Perkara itu disahkan oleh adik Julia, Nia Anggia menerusi akaun Instagramnya.

“Innalillahiwainailaihirojiun, telah pulang kakak tercinta kami Julia Perez. Minta doanya ya semua, terima kasih semua atas sokongan selama ini. I LOVE YOU Yuli,” tulisnya.

Terdahulu, penyanyi Belah Duren itu mengumumkan mengidap kanser serviks sejak 2014 ketika menjalani rawatan di Singapura.

Namun, ketika itu penyakit dihidapi masih berada di peringgkat 1B.

Ekoran itu, Julia, 36, terpaksa mengurangkan kegiatannya di dunia hiburan dan pada masa sama melakukan rawatan.

Malangnya, barah dihidapi semakin tersebar pada setiap organ.

Selama menjalani rawatan di rumah sakit, ramai rakan keluarga, sahabat dan artis tidak lupa berkunjung menziarahi Julia.

Hingga ada pada suatu ketika, rakan selebriti turut memungut derma dan sumbangan daripada orang ramai untuk membantu membiayai kos perubatan aktres dan penyanyi berkenaan.

Namun, setelah berjuang berbulan-bulan hingga berat badan mulai susut dan kurus, Julia akhirnya dijemput mengadap Ilahi.

Julia memiliki ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Bung Karno di Jakarta pada 2015.

Dia pernah berumahtangga sebanyak dua kali, iaitu dengan Damien Perez (2002 hingga 2008) dan pemain bola sepak kelahiran Argentina, Gaston Castano (2013 hingga 2016).

Lihat Komen
ADS