Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Hari pertama sampai di Damsyik, kami dibawa menaiki Jabal Qasiyun. Pada sebelah malam, jalan ke puncak bukit ini dipenuhi dengan restoran.

Dari atas bukit ini, kita boleh melihat keseluruhan bandar Damsyik. Kerlipan lampu dari rumah dan bangunan kedai cukup mempesonakan.

Di antara keunikan pemandangan dari atas bukit ini ialah menara masjid berwarna kehijauan. Di Syria, hampir kesemua masjid mempunyai menara yang tinggi. Walaupun masjid itu saiznya kecil sahaja, tetapi menaranya mesti tinggi.

Menara ini akan dihiasi lampu berwarna hijau. Pada sebelah malam ia kelihatan cantik. Lampu hijau ini memenuhi seluruh penempatan penduduk.

Berbalik ke Jabal Qasiyun tadi. Kerlipan lampu hijau dari menara-menara masjid boleh dilihat sepanjang malam. Di celah-celah menara hijau itu akan ada beberapa menara yang lampunya berwarna putih.

Damascus- Midnight lightening-  دمشق

Saya bertanya kepada rakan Syria kami kenapa ada menara masjid berwarna putih? Bentuknya seperti masjid juga. Cuma bezanya pada menara sahaja.

Kata mereka jika menara berlampu putih itu bukan masjid, tetapi gereja. Barulah kami tahu, rupanya gereja dengan masjid tidak berbeza bentuk dan kubah mereka.

Untuk membezakannya hanyalah pada warna lampu di menara masing-masing. Walaupun masyarakat Kristian tidak sampai 10 peratus di Syria, mereka hidup dengan aman.

Selain menduduki kawasan bandar di Damsyik, mereka juga mempunyai penempatan tersendiri di sebuah bandar bernama Ma’lulah.

Perjalanan ke Ma’lulah ini sekitar satu jam dari Damsyik. Kami pernah ke situ. Di sana ada gereja-gereja lama seawal zaman Nabi Isa AS. Kami masuk ke sebuah gereja ketika mereka menjalankan upacara.

Mereka melayan seadanya dan selebihnya fokus kepada upacara mereka. Menunjukkan bahawa mereka tidak berusaha menyebarkan agama mereka, sekadar mengamalkan untuk diri mereka sahaja.

Penduduk Ma’lulah percaya bahawa Nabi Isa AS datang dari perkampungan mereka. Tidak dapat dipastikan kebenarannya, tetapi memang benar gereja mereka sangat tua. Di Ma’lulah ini ada satu kawasan berbukit.

Anehnya, di tengah-tengah bukit ini terbelah dua seperti laluan yang panjang di sepanjang bukit tersebut.

Khabarnya ia ada kaitan dengan kisah golongan Hawariyyun yang diceritakan dalam Al Quran surah As-Sof ayat terakhir.

Maknanya: “Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu menjadi pembantu agama Allah. Sebagaimana Isa Ibnu Maryam yang telah berkata kepada pengikutnya golongan Hawariyyun. Siapakah yang sedia menolongku untuk membantu agama Allah?

“Jawab golongan Hawariyyun: Kamilah pembantu-pembantu agama Allah. Lalu sebahagian daripada Bani Israel beriman dan sebahagiannya kufur. Lalu Kami berikan kekuatan kepada orang beriman mengalahkan musuh mereka, lalu mereka menang.” (As Sof 14).

Bukit yang terbelah tadi dikatakan berkait dengan golongan Hawariyyun yang beriman kepada Nabi Isa AS. Lalu mereka dikejar oleh tentera Rom. Mereka melarikan diri dan sampai ke kawasan bukit itu, ia terbelah dua membuka laluan kepada golongan Hawariyyun untuk menyelamatkan diri.

Di hujung bukit ini adanya sebuah gereja lama. Kami masuk ke dalam gereja tersebut dan ada sebuah kubur besar. Katanya itulah kubur salah seorang daripada golongan Hawariyyun yang menjadi pengikut Nabi Isa AS.

Selain Kota Ma’lulah ada sebuah lagi kota Kristian yang masyhur iaitu Bab Tuma. Ia terletak di pusat bandar Damsyik berdekatan dengan Kota Damsyik yang terdapat di dalamnya Suq Hamidiah (pasar Hamidi) dan juga Jame’ Umawi.

Peace in Damascus

Kota Bab Tuma ini dikatakan dibina pada zaman pemerintahan Sultan Salahuddin Al Ayyubi. Ketika peperangan Salib berlaku, Salahuddin berjaya menawan kota Damsyik. Selepas masuk ke Kota Damsyik, beliau tidak menghalau atau menyeksa orang-orang Kristian yang ada di dalam kota tersebut.

Bangunan mereka dijadikan masjid dan gereja sebelah menyebelah. Kemudian Salahuddin membina penempatan khas untuk orang-orang Kristian yang lengkap dengan sistem pengairan, perbandaran dan segala keperluan penduduk.

Kota inilah yang dinamakan Bab Tuma yang menjadi penempatan orang Kristian sehingga ke hari ini.

Salah satu lagi tempat bersejarah lagi ialah Kota Busra. Busra terletak bersempadan dengan negara Jordan.

Di sana berlaku peristiwa penting dalam sejarah Nabi Muhammad SAW sebelum kenabiannya. Baginda dibawa oleh bapa saudaranya Abu Talib untuk berniaga di Syam.

Sampai ke Busra mereka bertemu dengan seorang pendita Nasrani iaitu Rahib Buhaira.

Rahib Buhaira melihat petanda-petanda kenabian pada diri baginda. Lalu diberitahu kepada Abu Talib supaya segera membawa pulang Muhammad ke Mekah, kerana dibimbangi diketahui oleh orang-orang Rom dan baginda akan dibunuh.

Ketika kami melawat Busra pada tahun 2008, gereja tinggalan Rahib Buhaira ini masih wujud. Walaupun tidak digunakan lagi, tetapi binaan bersejarah ini masih kekal.

Selain itu di Busra ini juga adanya tinggalan sejarah Rom seperti Coliseum, kubu tentera Rom yang berjaya ditawan oleh Khalid Al-Walid dan beberapa kesan sejarah lagi.

Tidak dapat dipastikan adakah kesemua tinggalan sejarah ini masih wujud atau sudah musnah akibat peperangan.


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Gugurnya Asma' di Dataran Rubu'ah

Ketakutan, waspada pemerintah Syria

Mengapa anak muda Syria berlumba ke masjid

Lihat Komen
ADS