Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Jika di Melaka, pintu gerbang Kota A Famosa itupun dijaga rapi sehinggalah Melaka diisytiharkan negeri bersejarah. Di Syria setiap segenap ceruk dalam negara ini ada tinggalan sejarah sejak ribuan tahun lampau.

Amat sayang jika ia sudah musnah akibat peperangan. Daripada kisah Kota Ma’lulah, Kota Bab Tuma dan gereja Rahib Buhaira ini menunjukkan kepada kita kesemua binaan ini masih selamat. Walaupun usianya ratusan hingga lebih seribu tahun.

Gereja Rahib Buhaira wujud sebelum kenabian baginda Nabi Muhammad SAW lagi. Selepas kewafatan Nabi SAW, para sahabat berjaya menguasai Busra selepas berjaya menewaskan Rom.

Kemudian pemerintahan Islam zaman-berzaman bersilih ganti sejak zaman kerajaan Umaiyah yang berpusat di Damsyik, bersambung dengan pemerintah Abasiyyah dan Othmaniah serta beberapa kerajaan Islam yang lain, binaan ini tidak pun dimusnahkan.

Lebih mengujakan apabila penganut Kristian di Ma’lulah dan Bab Tuma masih kekal hidup sehingga ke hari ini dengan suasana aman dan damai tanpa gangguan.

Inilah keadilan agama Islam. Islam memerintahkan kita menyeru kepada orang bukan Islam supaya menganut ajaran Islam sebagai agama yang benar. Namun dalam masa yang sama memaksa mereka tidak dibenarkan.

Menzalimi mereka dilarang sama sekali. Malah dalam Islam, ketika situasi perang, Rasulullah SAW berpesan kepada tentera Islam agar tidak membunuh atau merosakkan rumah-rumah ibadah, tumbuh-tumbuhan, haiwan ternakan, sumber air, golongan tua, kanak-kanak dan wanita.

Islam agama perdamaian

Itu pada waktu perang. Lebih-lebih lagilah pada waktu damai, amatlah mendukacitakan jika kita menzalimi dan memusnahkan rumah ibadah mereka. Sebab itulah disebut Islam itu Rahmatan Lil A’lamin atau Rahmat kepada seluruh alam.

Bukan sekadar orang Islam mendapat kebaikan, tetapi masyarakat bukan Islam dan makhluk-makhluk lain seperti tumbuhan, haiwan dan bangunan selamat di bawah Islam.

2689  SIRIA -BOSRA- TEATRO ROMANO

Jika ada orang Islam yang melakukan kerosakan tersebut, ia bukan daripada agama Islam. Bermakna mereka bukanlah muslim yang taat beragama. Oleh itu perlakuan mereka tidak boleh dinisbahkan kepada agama Islam yang melayan manusia dan semua makhluk dengan baik.

Teringat ketika peristiwa pembunuhan wartawan Charlie Hebdo di Perancis pada tahun 2014, sebuah majalah bulanan yang mengeluarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW. Orang Islam dituduh terlibat dengan pembunuhan tersebut.

Lalu beberapa kumpulan di Eropah cuba menjalankan kempen ‘zero muslim’ bagi mengganyang muslim di Eropah. Namun Presiden Perancis, Francois Holander mengeluarkan kenyataan: “Boleh jadi benar orang Islam terlibat dengan pembunuhan tersebut, tetapi kita tidak boleh menyalahkan agama Islam kerana Islam adalah agama perdamaian.”

Ini adalah satu bentuk konotasi yang jelas memahami makna Islam yang sebenar.

Ketika di Damsyik, kami pernah dibantu oleh orang Kristian. Ketika itu isteri saya sakit hendak melahirkan anak. Sekitar pukul lima pagi. Saya dan kawan-kawan berusaha mendapatkan teksi untuk ke hospital. Setelah dua tiga buah teksi ditahan, tidak ada satu pun berhenti.

Jika ada pun, mereka tidak bersedia menghantar ke hospital. Suasana masih pagi dan jumlah teksi amat terhad. Akhirnya kami berjaya mendapatkan sebuah teksi dan terus meluncur laju ke hospital. Dalam perbualan sepanjang jalan tahulah kami pemandu itu beragama Kristian.

Tidak perlu dakwah dengan ceramah

Sampai di hospital, dia membantu memudahkan untuk turun daripada teksi. Kemudian ketika saya kalut menyeluk poket untuk membayar tambang, dia katakan tidak perlu bayar.

Saya segera bawa isteri ke dalam. Sudah lewat. Subhanallah. Sudahlah dia menghantar kami pada pagi hari, tambang pulang tidak mahu diambil.

Begitu juga kisah Abang Rahman yang diceritakan dalam bab sebelum ini yang dibantu oleh seorang pemandu teksi beragama Kristian mendapatkan sebuah hospital untuk isterinya bersalin.

Pokoknya kehidupan mereka sangat harmoni. Di tengah masyarakat Syria yang kuat beragama Islam dan memahami agama mereka, dengan ribuan alim ulama menghuni bumi Syria, mereka melayan bukan Islam dengan sebaiknya.

Tauladan para penganut Islam dan ulama-ulama di sinilah membuatkan agama Islam dipandang baik oleh masyarakat bukan Islam. Apabila faham agama ia menjadi mudah.

Jika tidak faham agama, kita akan sentiasa memikirkan bagaimana hendak bermusuh dengan rakan yang tidak seagama dengan kita. Hidup sentiasa dalam waspada dan syak wasangka.

Maka di manakah tanggungjawab dakwah yang menjadi kewajipan kepada kita semua. Berdakwah tidak perlu sehingga pandai berceramah dan mempunyai keilmuan yang tinggi.

SIR1344  Siria castillo del crack de los caballeros

Cukup menunjukkan akhlak yang baik, ia menjadi satu tarikan kepada penganut agama lain kepada agama Islam. Tahniah rakyat Syria.

Ketika Islam berjaya menawan Kota Baitul Muqaddis di Palestin, Saidina Umar tidak membunuh penduduk-penduduk Yahudi dan Nasrani di dalam kota tersebut.

Beliau memberi kesempatan beberapa hari kepada mereka untuk keluar dari kota tersebut dengan selamat. Bagi yang ingin kekal tinggal di Baitul Muqaddis, mereka dibenarkan hidup di sana dengan suasana yang harmoni.

Kemudian apabila paderi Baitul Muqaddis mempersilakan Umar menunaikan solat di ruangan gerejanya. Umar menolak dan beliau solat di kawasan lain. Kerana kata Umar, beliau bimbang suatu hari nanti akan ada orang Islam meruntuhkan gereja itu dan hendak mendirikan masjid kerana Umar pernah solat di situ.

Inilah pemaparan akhlak terpuji Umar Al Khattab menyebabkan bukan Islam tertarik dengan Islam.

Pernah satu ketika selepas sebuah kerajaan Islam jatuh di Mesir, orang-orang Kristian berhijrah dari Mesir mencari-cari di mana ada lagi kerajaan Islam.

Mereka hendak berada di bawahnya kerana bagi mereka, keselamatan mereka terjamin dibawah pemerintahan Islam. Dalam satu kajian berkait kerajaan Othmaniah, ditemui bahawa penganut beragama Islam bukanlah majoriti di bawah kerajaan Islam Othmaniah.

Kerajaan yang luasnya dari Moscow di Rusia sebelah utara dan alam Melayu di sebelah Timurnya merupakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat. Tetapi warganegara keseluruhannya majoriti bukan beragama Islam daripada pelbagai kaum.

Jika benar kajian ini, ia suatu keanehan kerana kerajaan ini boleh bertahan hampir enam abad. Sebab apa bertahan?

Tidak lain tidak bukan, agama Islam ini sangat sesuai dengan semua kaum dan agama di dunia kerana sifat adil, sejahtera dan damainya agama ini.


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Gugurnya Asma' di Dataran Rubu'ah

Ketakutan, waspada pemerintah Syria

Mengapa anak muda Syria berlumba ke masjid

Masjid atau gereja? Bezanya pada menara

Lihat Komen
ADS