TuJu: LLM perlu bertanggungjawab jika kerajaan dikelirukan, kata Fahmi
Pengurusan tertinggi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlu bertanggungjawab sekiranya kerajaan diberikan maklumat mengelirukan mengenai keupayaan aplikasi navigasi TuJu, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
"Sekiranya ada maklumat yang tidak betul yang disampaikan, maka perlu dipertanggungjawabkan pengurusan tertinggi di organisasi tersebut.
“Di pihak kerajaan, itu pendirian kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara Majlis Media Malaysia di Petaling Jaya, hari ini.
Fahmi yang juga menteri komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika diminta mengulas penjelasan Pengerusi LLM, Hasni Mohammad, bahawa TuJu tidak pernah dibangunkan untuk bersaing secara langsung dengan Waze.
Dalam wawancara baru-baru ini, Hasni berkata TuJu dibangunkan untuk menambah baik perkhidmatan di lebuh raya bertol, bukannya berfungsi sepenuhnya sebagai aplikasi navigasi.
"Ia bukan aplikasi navigasi seperti Waze. Kerjasama kami hanya bertujuan untuk menambah baik pusat pengurusan trafik kami," kata Hasni kepada Malaysiakini sebelum ini.
Hasni turut membangkitkan persoalan jika LLM dan pemaju TuJu – Prosignal Consortium Sdn Bhd –memberikan gambaran tepat mengenai fungsi aplikasi itu ketika taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 20 Okt lalu.
"Jika taklimat yang diberikan LLM kepada MKN mengelirukan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
"Jika itu berlaku, saya tidak fikir ia sesuatu yang boleh kita pandang ringan," kata Hasni yang tidak menghadiri taklimat berkenaan.
Fahmi berkata dia tidak menghadiri mesyuarat di parlimen itu dan tidak dapat mengesahkan maklumat yang dibentangkan.
"Kita serahkan kepada pihak yang berwajib untuk mengambil apa-apa tindakan," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan telah memanggil LLM atau tidak untuk memberikan penjelasan susulan kenyataan Hasni, Fahmi meminta perkara itu dirujuk kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).
"Tanya KKR. Kementerian Kerja Raya adalah kementerian yang bertanggungjawab, itu agensi di bawah Kementerian Kerja Raya," katanya.
Kontroversi itu tercetus selepas Anwar pada 20 Okt lalu menggalakkan rakyat Malaysia beralih daripada Waze kepada TuJu dengan membangkitkan kebimbangan keselamatan negara berhubung kaitan Waze dengan Israel.
Kerajaan kemudiannya mengehadkan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam, namun aplikasi navigasi lain termasuk Google Maps masih dibenarkan.
TuJu menerima pelbagai rungutan berhubung masalah teknikal dan kelemahan fungsi navigasinya. Anwar kemudian mengakui pada 23 Okt bahawa aplikasi itu masih belum sempurna.
Hasni kemudian menjelaskan bahawa Anwar telah mengarahkan supaya TuJu dinaik taraf, manakala sebarang kos berkaitan akan dirujuk kepada terma perjanjian antara LLM dengan Prosignal.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/image85_750359.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.