Kereta Mercedes: PAS menuduh untuk tutup kesalahan sendiri
Penyokong Keliru
1101801427
Laporan malaysiakini seperti berlaku sedikit kekecohan dalam pentadbiran kerajaan PAS Kelantan apabila mereka membeli enam buah kereta Mercedes-Benz untuk kegunaan exco-exconya.
Malaysiakini juga menyiarkan kenyataan Husam Musa yang mengesahkan pembelian kereta tersebut dan memberi beberapa alasan mengapa kereta Mercedes menjadi pilihan dan bukannya Proton Perdana yang kini menjadi kereta rasmi anggota exco kerajaan negeri dan menteri-menteri kabinet.
Selepas itu, keluar pula kenyataan Annuar Musa sebagai pengerusi Umno Kelantan mempertikaikan langkah itu sebagai tidak berjimat cermat menguruskan wang dalam keadaan kewangan negeri masih tidak stabil.
Selang beberapa hari selepas itu, keluar pula kenyataan daripada Timbalan Menteri Besar Kelantan mempertahankan tindakan membeli kereta tersebut diikuti kenyataan seorang daripada ahli exconya, Ustaz Nik Mohd Amar Nik Abdullah.
Di sini penulis bukanlah mahu mempertikaikan baik atau buruknya tindakan membeli kereta tersebut. Perkara itu biarlah diperdebatkan oleh pihak kerajaan Kelantan dan Annuar sahaja untuk menjaga nama dan kepentingan politik masing-masing.
Tidak perlulah penulis mengatakan sebuah kereta Perdana baru sekurang-kurangnya empat hingga lima tahun tidak perlu ditukar alat gantinya berbanding dengan sebuah kereta 'second-hand' yang biasanya sentiasa perlu dibaiki.
Ini bagi menjawab hujah Husam yang mengatakan kereta Perdana lebih tinggi kos penyelenggarannya berbanding kereta Mercedes dan sebab itu dibeli kereta Mercedes walaupun yang terpakai.
Cuma apa yang ingin penulis bangkitkan di sini ialah PAS perlu jujur dan terus mempertahankan prinsipnya sebagai parti yang bertanggungjawab dan telus. Kerana apa yang dapat dilihat, PAS telah mengunakan cara yang tidak mencerdikkan rakyat dalam menjawab isu ini.
Apa yang penulis maksudkan ialah jawapan Nik Amar yang membangkitkan ada pemimpin Umno membeli kereta lebih mahal untuk menangkis isu ini dan mungkin untuk menutupnya daripada terus dibahaskan.
Berdasarkan laporan Harakahdaily, Nik Amar berkata: 'Beliau juga rasa kesal kerana pendedahan yang serupa tidak dibuat terhadap seorang exco negeri yang diberikan dua kereta, termasuk pacuan empat roda buatan luar negara.
'Saya difahamkan di negeri terbabit, seorang exco negeri bukan sahaja memiliki kereta import Toyota Camry, sebaliknya juga pacuan empat roda buatan luar negara."
Di perenggan lain turut menyebut: 'Nik Amar turut mempertikaikan tindakan Annuar Musa yang hanya mengkritik kerajaan Kelantan membeli kereta luar negara, sedangkan negeri lain di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional, juga berbuat demikian tetapi tidak didedahkan.'
Dan seterusnya dilaporkan: 'Sehubungan itu, beliau mencadangkan pemimpin Umno menyiasat wakil-wakil rakyat mereka memiliki kereta jenis apa serta di mana sumber pendapatan mereka sehingga dapat memiliki kereta mewah'.
Bagi penulis, ini bukanlah satu jawapan yang jujur dari pemimpin sebuah kerajaan PAS yang mendaulatkan Islam. Bukan salah mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional seperti penyelewengan membeli kereta mahal itu, malahan ia menjadi satu kewajipan untuk didedahkan kepada rakyat yang memberi mereka amanah untuk mentadbir negara.
Tetapi pendedahan itu mestilah secara telus dengan niat untuk menegur mereka atau menghentikan kelakuan mereka, bukannya pendedahan dibuat di waktu tersepit dan mempertahankan diri dengan harapan semua pihak akan mendiamkan diri untuk menutup kesalahan masing-masing.
Adakah pemimpin PAS akan dinilai sebagai 'cerdik' apabila orang mendakwa mereka melakukan kesilapan, dia menjawab dengan mendedahkan kesilapan orang lain lebih besar daripada dia. Contohnya: Annuar Musa kata PAS membazir sebab beli kereta Mercedes, PAS pula jawab Annuar pun ada beli kereta lagi mahal ...
Apakah ini cara yang digunakan oleh PAS? Membandingkan kesalahan orang lain lebih teruk daripada kesalahan sendiri, supaya orang akan beranggapan kita baik sedikit? Isu seperti ini merupakan yang kedua penulis perhatikan dalam masa terdekat ini.
Sebelum ini pernah terjadi seorang pemimpin Umno yang baru menawan semula Terengganu daripada PAS mendedahkan kerajaan PAS meluluskan kawasan balak selepas Parlimen dibubarkan.
Ketika menjawab isu tersebut, seorang pemimpin PAS yang juga bekas Exco kanan kerajaan PAS Terengganu menjawab, kerajaan Umno lagi teruk kerana pernah meluluskan balak selepas hari penamaan calon.
Perkara seperti ini sangat mengecewakan penyokong PAS yang selama ini diajar supaya menjadi rakyat yang matang, bijak dan berilmu. Sedangkan dalam masa yang sama, pemimpin mereka mengeluarkan jawapan yang 'membodohkan' pengikutnya.
Jawapan seperti ini tidak ubah seperti berkata 'Aku hanya mencuri RM1,000 tetapi ada pihak lain yang mencuri RM10,000'. Sedangkan pada hakikatnya, sama-sama melakukan perbuatan mencuri.
Penulis percaya selepas ini, kalaulah ada orang Umno (kampungan) berkata kepada orang PAS (kampungan): 'PAS pun sama saja, dapat kuasa dah mula lupa diri, pakai kereta besar-besar', pasti orang PAS itu akan menjawab: 'PAS pakai kereta besar pun harga hanya RM140,000 dan 'second hand', tapi pemimpin Umno tu lagi teruk, kereta, rumah harga berjuta-juta'.
Maka akhirnya budaya politik jumud dan 'feudal' - tuduh menuduh - terus bersarang dalam jiwa rakyat kita dan jangan haraplah kita mampu membentuk generasi rakyat yang matang kalau inilah caranya.
Sepatutnya pemimpin PAS memperlihatkan kewibawaannya dan ketelusannya dalam setiap isu berkaitan mereka apabila dibangkitkan.
Seperti isu pembelian kereta, jelaskan sahaja sebab-sebab mengapa kereta tersebut dibeli dan alasan-alasannya kepada rakyat dengan ikhlas sepertimana jawapan Husam yang menjawab pembelian tersebut sebab penyelenggarannya lebih murah. Dan terserahlah kepada rakyat untuk menilai tindakan mereka itu.
Penulis yakin rakyat sekarang sudah dapat menilai. Membeli kereta sama ada Mercedes atau Perdana bukanlah isu besar yang mahu diperhatikan oleh rakyat. Rakyat hanya mahu melihat hasil kerja kita dan ketelusan kita.
Dan penulis harap PAS teruskanlah mendedahkan segala kepincangan yang berlaku dengan jujur dan seikhlasnya, bukan hanya menyimpan sebagai satu senjata rahsia yang bakal didedahlan sekiranya pihak lawan mendedahkan keburukan kita.