Saya ingin menjawab tulisan di dalam ruangan Forum Utusan Malaysia baru-baru ini yang bertajuk 'Kota Bharu tidak layak dipanggil bandaraya Islam'.
Setelah masuk penggal keempat kepimpinan ulama menerajui kerajaan Kelantan ini dengan pelbagai tekanan, dugaan, halangan dan kekangan kewangan, maka sudah semestinya jika bukan dengan kesabaran dan doa yang berterusan dari seluruh rakyat, sudah tentu Kelantan tidak tenteram dan tenang seperti yang kita nikmati hari ini.
Saya masih ingat jawapan Almarhum Fadhil Mohd Noor, yang ketika itu merupakan Presiden PAS, apabila ditanya oleh para wartawan ( kalau tidak silap saya) tentang sumbangan PAS terhadap erti sebuah kemerdekaan tanahair.
Dengan penuh tanggungjawab Almarhum menjawab bahawa sumbangan terbesar PAS dalam menilai dan menghargai erti kemerdekaan ialah tidak berbuat huruhara dan masih bersabar serta mampu menjaga ahli-ahlinya daripada melakukan suatu tindakan yang melanggar undang-undang, sekalipun pihak lawan secara terang-terangan mencabuli undang-undang itu sendiri.
Jadi, soal untuk mengisytiharkan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam adalah hak mutlak Kerajaan Negeri Kelantan dan tiada kena mengena dengan Kerajaan Persekutuan.
Saya ingin mempersoalkan logik yang dilontarkan oleh Khairul mengenai infrastruktur, bentuk bangunan dan gejala sosial serta permasalahan yang berlaku di negeri ini sebagai penghalang kepada perisytiharan tersebut.
Pertama. Jika sungguh dan benar serta betul bagai dikata dan dilaung-laungkan, Malaysia adalah sebuah negara Islam ... maka adakah salah untuk menjadikan Kota Bharu sebagai sebuah Bandaraya Islam dalam sebuah negeri yang dipimpin oleh parti yang memperjuangkan Islam di dalam sebuah negara yang mengaku sebagai sebuah Negara Islam?
Kedua. Gejala sosial ada di mana-mana termasuklah di Kuala Lumpur. Di sekitar ibu negara sahaja terdapat pusat pelacuran yang dikenalpasti. Maka apa nilai Negara Islam yang diisytiharkan? Kenapa tidak mahu isytiharkan Kuala Lumpur juga sebagai Kotaraya Islam? Bukankah di sana infrastrukturnya canggih-canggih, hebat-hebat, tinggi-tinggi dan semuanya moden?
Bukankah di Kuala Lumpur juga adanya Pusat Islam, Jakim, Muzium Kesenian Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Yayasan Dakwah Islamiyyah, Pusat Perubatan Islam dan lain-lain ... maka apakah halangan Kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai Kotaraya Islam?
Kerajaan PAS berkuasa di Kelantan pada 1990 dan mahu mengisytiharkan Kota Bharu sebagai sebuah Bandaraya Islam pada tahun 2005. Kerajaan Persekutuan berkuasa di Malaysia pada 1957 tetapi hanya pada era Dr Mahathir Mohamad barulah diisytiharkan sebagai sebuah Negara Islam.
Itupun Kuala Lumpur tidak tersenarai dan tidak pun diisytiharkan sebagai sebuah Kotaraya Islam. Kenapa jadi begitu?
Sudah tentu di sana ada sesuatu yang tidak kena. Justeru, kenapa mahu diganggu dan dihalang usaha murni untuk perisytiharan Kota Baru?
Ketiga. Jika kita berfikiran waras dan mempunyai akal yang sempurna, kita tidak akan membuat perbandingan antara Kuala Lumpur dengan Kota Bharu. Itu hujah dangkal jika kita mengatakan Kuala Lumpur lebih maju dari Kota Bharu.
Adalah lebih elok dan cantik jika kita bandingkan pembangunan di Kota Baru dengan Alor Setar, Kota Baru dengan Kangar, Kota Baru dengan Ipoh dan sebagainya.
Keempat. Di dunia ini tiada satu pun ada pada masa kini negara yang 100 peratus mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Arab Saudi, walaupun yang terkenal dengan negara yang mengamalkan ajaran dan hukum Islam (walaupun tidak sepenuhnya ), tetapi apa sudah jadi dengan pemimpin negara itu yang menjadi telunjuk dan anak didik negara Barat?
Mesir yang terkenal dengan Universiti Al Azhar ... apa sudah jadi dengan pemimpin negara itu yang tunduk kepada tekanan Barat dan baru-baru ini menerima suntikan dana 16 billion Lira Egypt dari Amerika?
Jika inilah yang dilaung-laungkan mengenai Islam Hadhari (istilah itu sudah terpesong ) maka sudah tentu keadaan-keadaan itu tidak akan menyumbang kepada lahirnya masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang diwar-warkan oleh kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Haji Ahmad Badawi.
Jika mahu menjadi masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang, maka sudah tentu kita akan duduk semeja berbincang dan berbuat sesuatu dengan penuh semangat persaudaraan yang kukuh.
Tidak mahukah kita merapatkan jurang politiking dengan mengenepikan segala kesenjangan yang terbentang di depan mata kita?
Kesimpulannya, perisytiharan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam pada bulan depan nanti adalah suatu yang baik dan tepat. Perisytiharan itu hanyalah secebis dan sebahagian dari usaha ke arah kebaikan. Sekurang-kurangnya kita berusaha sedikit demi sedikit ke arah kebaikan.
Untuk menunggu semuanya sempurna dan lengkap, barulah mahu dilaksanakan dan diisytiharkan, maka itu adalah sesuatu yang mustahil. Jika orang Islam sendiri tidak menyokong malah menentang sesuatu yang baik, siapakah lagi yang diharapkan untuk menyokong usaha tersebut?
