Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila saya menulis artikel berkenaan dengan hal-hal kemasyarakatan tidak banyak yang memberi komen, malah ramai yang menyokong. Apabila saya menulis artikel mengenai isu agama Islam ramai yang memberi komen, hinggakan apabila ramai orang Islam sendiri yang memberi komen, orang bukan Islam pun turut sama memberi komen.

Ini adalah pandangan saya untuk semua rakyat di Malaysia ini, jangan campuri urusan agama lain. Setiap penganut agama di Malaysia ini harus fahami apa erti amalan penganut agama lain dan perlu rasa hormat menghormati atas dasar kemanusiaan, bukan atas dasar aqidah.

Begitu juga dalam seruan azan dari masjid, bunyi loceng di kuil, nyanian di gereja dan sebagainya. Pertikaian dalam amalan agama di Malaysia ini haruslah dibataskan dalam kelompok agama masing-masing dan janganlah menjangkau sempadan penganut agama lain.

Begitulah juga dengan masalah mendirikan rumah ibadah penganut agama masing-masing. Pihak berkuasa tempatan haruslah mengambil kira sensitiviti setiap penganut agama untuk mereka mendirikan rumah ibadah mereka. Faktor kepadatan penduduk setiap agama, haruslah diambil kira agar kelulusan yang diberikan itu bersifat rasional.

Sekiranya setiap penganut agama di Malaysia ini saling faham memahami dan menyerahkan hal-hal berkaitan agama kepada ahlinya iaitu hal berkaitan agama Islam pada golongan mufti dan ulama, hal berkaitan agama Kristian pada paderi dan pastor, hal berkaitan agama Hindu diserahkan pada sami-sami, maka sudah pasti kecelaruan berkaitan permasalahan agama tidak akan timbul di Malaysia ini.

Bagi setiap penganut agama di Malaysia ini dengarlah nasihat dan pandangan daripada mereka yang arif dalam agama masing-masing dan bukannya daripada mereka yang lantang menyuarakan pendapat tanpa mendalami atau mempelajari ilmu-ilmu agama itu melalui saluran atau tempat pengajian yang sepatutnya.

ADS