Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenyataan saudara Mahdzir Ibrahim jelas membuktikan DAP Johor semakin terdesak untuk meraih perhatian rakyat di negeri ini.

Artikel beliau yang dimuat naik dalam portal Malaysiakini hari ini, adalah satu luahan yang penuh dengan retorik politik kebencian.

Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan yang dinyatakan oleh budak suruhan DAP Johor ini. Ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui kenyataan tersebut.

Beliau menyatakan bahawa ucapan YAB menteri besar tidak mempunyai isi. Saya merasakan wujud kemungkinan beliau lupa, khilaf atau kurang peka untuk meneliti dan menyatakan berkenaan 126 titik sentuhan Bajet Johor 2017 yang akan memberikan impak secara langsung kepada Bangsa Johor secara inklusif meliputi pelbagai kaum di negeri ini.

Kedua, beliau ada menyatakan bahawa BN Johor tidak mempunyai calon bukan Melayu yang meyakinkan untuk menang dan bertanding di Johor dalam PRU yang akan datang. Suka untuk saya ingatkan bahawa BN Johor mempunyai resipi tersendiri melalui Gagasan Muafakat Johor yang menzahirkan kesepakatan melalui dasar dan polisi kerajaan negeri.

Kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB menteri besar sentiasa cakna dengan keperluan Bangsa Johor yang berbilang kaum. Jadi saya merasakan ini merupakan tuduhan melulu bagi mewujudkan persepsi songsang DAP terhadap usaha baik yang dijalankan oleh kerajaan BN Johor.

Tidak wujud soal ketandusan calon bukan Melayu kerana BN Johor mempunyai pelbagai lapisan kepimpinan masyarakat akar umbi yang boleh diangkat menjadi calon.

Ketiga, beliau juga menuduh bahawa exco bukan Melayu kerajaan negeri dari parti MCA dan MIC gagal menjalankan tanggungjawab sebagai exco dengan baik. Agak pelik dan janggal bila mana kenyataan ini dikeluarkan oleh DAP sendiri, sebuah parti yang kononnya pelbagai kaum, yang bukan bersifat perkauman.

Jelas sekali, kenyataan beliau itu bersifat perkauman yang harus ditolak habis-habisan oleh bangsa Johor. BN Johor tidak pernah sesekali bersifat double standards terhadap mana-mana exco kerajaan negeri.

Bahkan, kedua-dua exco kerajaan negeri ini diberikan portfolio penting bagi memacu kemajuan ekonomi Johor.

Beliau juga membuat cubaan untuk membangkitkan sentimen Bangsa Johor yang jelas gagal difahami oleh penulis. Konsep Bangsa Johor merupakan sebuah konsep yang telah lama dipegang oleh sekalian rakyat di negeri Johor.

Konsep ini telah menjadi teras kepada perpaduan kaum di Johor yang sememangnya kaya dengan identiti sosial yang telah dipegang turun temurun.

DAP Johor kenalah celik sejarah, dan menjiwai asal usul Johor. Konsep Bangsa Johor ini telah wujud di negeri ini sejak 1920 lagi, dan ia telah diperkenankan oleh Istana pada 1940-an, selaras dengan wawasan almarhum Sultan Abu Bakar dan kemudian diteruskan oleh DYMM Sultan Ibrahim untuk membentuk rakyat Johor bawah satu nama, Bangsa Johor.

Konsep 'Bangsa Johor' ini cukup jelas mendepani batas - batas parti politik, kerana ia hadir dalam roh dan semangat setiap rakyat negeri Johor.

Bintang di langit boleh dibilang, tetapi arang di mukanya tak pernah sedar, malangnya sehingga kini, belum pernah lagi saya melihat pelan atau cadangan polisi-polisi yang berkaitan pembangunan kaum India atau Melayu oleh DAP Johor malah DAP di mana-mana peringkat sekalipun.


HAHASRIN HASHIM ketua Pemuda Umno Johor.


BN Johor tiada calon bukan Melayu

Lihat Komen
ADS