Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu titik permulaan yang memberangsangkan ke arah amalan demokrasi yang sihat - itulah ungkapan yang dapat saya gambarkan apabila melihat perdebatan antara dua tokoh utama yang mewakili parti politik bertentangan yang disiarkan secara langsung di TV9 pada jam 9 malam 15 Julai.

Siapa yang kalah atau menang dalam perdebatan itu bukanlah menjadi isu utama; yang lebih utama, kita telah dapat menyaksikan bagaimana demokrasi telah semakin menghampiri kemenangan di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Pujian dan sekalung tahniah harus diberikan kepada Ahmad Shabery Cheek kerana berani membuat perubahan yang besar dan berani menghadapi risiko politik kerana mengadakan program debat ini.

Di Amerika Syarikat, perdebatan secara terbuka ini merupakan perkara biasa yang digalakkan dalam amalan demokrasi untuk memudahkan rakyat menilai kematangan, kebijaksanaan dan keterampilan pemimpin-pemimpin politik mereka.

Di samping itu, rakyat dapat melihat sesuatu isu dari sudut pandangan yang berbeza, tetapi kita di Malaysia debat terbuka telah menjadi perkara yang sangat ditakuti oleh parti politik memerintah.

Dengan bertambahnya program-program debat ini pada masa-masa akan datang, sudah tentu dapat memberi peluang kepada parti-parti lawan menyuarakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu melalui medium ini.

Dan tidak perlulah lagi mereka mengadakan demontrasi jalanan sebagai tempat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Pujian juga patut diberikan kepada Ahmad Shabery kerana sanggup berdebat dengan Anwar Ibrahim, seorang pemidato yang hebat.

Rasanya selain beliau, tidak ada pemimpin Umno yang berani menawarkan diri untuk berdebat dengan Anwar.

Kalau ada pun, mungkin hanya Dr Mahathir, tetapi Dr Mahathir sudah keluar dari Umno.

Memandangkan beliau seorang tokoh Umno yang mempunyai keberanian membuat perubahan, tidak ada sebab Ahmad Shabery tidak boleh menawarkan diri untuk bertanding sekurang-kurangnya untuk jawatan naib presiden Umno pada pemilihan pada Disember nanti.

ADS