Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teresa saman Syed Hamid kes ditahan ISA
Diterbitkan:  Mar 13, 2009 10:43 AM
Dikemaskini: 6:12 AM

kemaskini 2.09pm Exco kanan kerajaan Selangor, yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun lalu, menfailkan saman terhadap menteri dalam negeri dan tiga pihak lagi hari ini.

Teresa Kok, exco pelaburan dan perdagangan, yang ditahan seminggu mulai 12 September 2008 menfailkan saman terhadap Datuk Seri Syed Hamid Albar di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Plaintif turut menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, pegawai polis DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua, ketiga dan keempat.

Peguamnya Sankara Nair menfailkan tuntutan itu kira-kira jam 9 pagi dengan alasan tangkapan dan pemenjaraan itu tidak mengikut undang-undang dan tidak sah.

Teresa mendakwa pada pukul 11.15 malam pada tarikh itu defendan-defendan menangkapnya di Pearl Tower OG Heights, Kuala Lumpur secara paksa dan berbahaya sebelum dibawa ke balai

polis Wangsa Maju, tempat beliau ditahan selama lebih dua jam tanpa diberi kebenaran untuk menghubungi saudara terdekat atau peguamnya.

Beliau mendakwa pada jam 2 pagi, 13 September 2008, di balai berkenaan, beliau dimaklumkan oleh defendan ketiga bahawa beliau ditahan bawah Seksyen 73(1) ISA atas alasan melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum.

Teresa, juga ahli parlimen Seputeh, turut mendakwa beliau kemudian dihantar ke sebuah tempat penahanan rahsia dan ditahan di situ sehingga 19 September tahun lalu tanpa dibicarakan.

Beliau memohon mendapatkan ganti rugi untuk tangkapan salah dan penahanan tidak sah, ganti rugi kesakitan dan kesengsaraan, ganti rugi untuk tekanan mental, ganti rugi am dan khas dan relif-relif lain daripada mahkamah.

Jumlah tuntutan tidak dinyatakan dan diserahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.

ADS