Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhd Taib: Bersatu jika orang Melayu nak selamat...
Diterbitkan:  Mar 21, 2009 12:38 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Kalau orang Melayu hendak selamat, maka proses restorasi untuk satukan orang Melayu untuk kukuhkan diri, harus ada balik, kata calon timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

"Orang Melayu kena bersatu, atau kita akan ulang balik keadaan ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan, kera di hutan disusukan, anak dikendong

mati kelaparan.

NONE "Apa yang diungkapkan oleh Aminudiin Baki akan berlaku lagi. Kalau tak mahu bersatu, anak kita akan kehilangan hak," kata Muhd Taib dalam wawancara dengan Bernama.

Umno, tegas ketua penerangan Umno itu, perlu restorasi untuk mendengar suara, idea orang muda dan mengekalkan perjuangan asal.

"Seperti Restorasi Meiji kira-kira 150 tahun lepas. Dulu Jepun diperintah Shogun dan perang. Ia diambil alih dan dilakukan restorasi kesemua nilai-nilai yang baik, iaitu pendidikan dan ketaatan kepada raja, diterapkan.

"Bila rakyat kata ini apa yang mereka mahu, rakyat akan ikut. Proses restorasi ke arah perjuangan asal mesti dilakukan," tambahnya.

Berikut adalah wawancara penuh Muhd Taib dengan Bernama:

Soalan: Apa yang mendorong Tan Sri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno?

Jawapan: Saya nak berjuang untuk orang Melayu. Saya mewakili parti yang bernama Umno, Umno adalah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu di samping berjuang untuk seluruh rakyat Malaysia. Sebagai bekas Menteri Besar Selangor, memang kita memberi keutamaan kepada orang Melayu, tetapi ini tidak bermakna orang bukan Melayu kita tinggalkan. Sebagai anak Melayu dan sebagai orang yang berkecimpung dalam parti, saya hendak meneruskan khidmat saya ke peringkat tertinggi untuk bantu orang Melayu terutama di kampung, nak meninggikan peluang orang Melayu.

S: Apakah cabaran utama yang dihadapi oleh Umno untuk menarik kembali sokongan rakyat terhadap parti ini selepas pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu?

J: Umno kena ada proses Restorasi. Pada satu ketika dulu Umno terdiri daripada pelbagai kumpulan. Masa tubuh 1946, Umno tak ada, yang ada persatuan guru, persatuan penulis, persatuan pingan mangkuk kampung baru, persatuan anak Melayu Kelantan, Terengganu, Pahang, imam-imam. Umno barangkali sudah detached daripada kumpulan ini. Banyak perubahan telah berlaku selepas DEB (Dasar Ekonomi Baru) pada tahun 1970-1990.

Orang Melayu asalnya petani, penoreh getah. Tiada kumpulan perdagangan, dulu hanya ada orang yang boleh berkhidmat. Aminudin Baki pernah berkata kita seolah-olah ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan, anak dikendong mati kehausan, kera di hutan disusukan. Selepas itu bangkit usaha untuk membawa perubahan. Maka lahirlah selepas 13 Mei Dasar Ekonomi Baru apabila pada 1969 kuasa politik nak hilang.

Tahun 1970 di bawah pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, telah diancarkan DEB untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Selepas itu baru ada usaha melatih anak Melayu di MRSM (Maktab Rendah Sains MARA), bank-bank, skim pelajaran, skim ekonomi dan sosial selama 20 tahun dengan matlamat 30 peratus (pegangan ekuiti bagi bumiputera).

Menjelang 1990 tercapai 18 peratus, maknanya ada kejayaan. Hari ini Umno bergaul dengan orang berniaga. Orang Melayu dah jauh berubah kerana faktor pendidikan. Ada kemudahan pelajaran daripada peringkat taska hingga ke peringkat universiti. Infrastruktur telah disediakan di kampung-kampung. Mereka berjaya ke institusi pengajian tinggi, maka hasilnya wujudlah kelas menengah Melayu. Wujud peluang DEB, seperti peluang kontraktor kelas F, peluang perniagaan, pinjaman bank, bank bumiputera dan bank pertanian yang bagi kemudahan istimewa untuk orang Melayu.

Dari segi kemudahan pelajaran dan peluang ekonomi orang Melayu dah berada pada satu tahap yang berbeza. Orang Melayu sudah mampu memiliki kilang-kilang dan ini dicapai atas persetujuan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain. Gagasan ini dipersetujui. Dasar pembangunan nasional, penekanan dibuat untuk semua kaum, terutamanya golongan yang miskin. Orang Melayu dah ramai yang berhijrah ke bandar dan mampu pula bersaing di bandar. Walaupun mereka meningkat sepertimana orang Jepun dan bangsa maju lain seperti Korea, Taiwan dan Amerika, semangat untuk menjadi bangsa yang sedar untuk majukan bangsa mesti terus dijadikan pegangan.

S: Pada masa ini nampaknya masih ada yang melihat dasar-dasar kerajaan, terutamanya DEB memberi kelebihan kepada orang Melayu?

J: Francis Light membuka Pulau Pinang pada 1786, Raffles di Singapura pada 1819, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Perjanjian Pangkor 1873. Daripada 1786 sudah 250 tahun kaum yang datang seolah-olah dapat DEB selama 250 tahun. DEB yang mereka nikmati di bawah payung Inggeris mereka bolot. Dari segi pelajaran siapa pergi Victoria Institution, St. John Institution, Anderson School, Penang Free School, King Edward dan Raffles School di Singapura, semua ini terdiri daripada golongan imigran. Orang Melayu berada di tepi pantai seolah-olah dipetisejukkan dan mundur. Hanya sekolah agama, tak belajar ekonomi.

Orang Melayu hanya belajar fardu kifayah, fardu ain dan keadaan ini menyebabkan mereka terperangkap dalam dunianya selama 250 tahun. Apakah 20 tahun cukup untuk bangunkan satu kaum yang begitu lama ketinggalan kerana dipetisejukkan di tepi sungai dan pantai dengan mentaliti yang terperangkap? Apakah 20 tahun boleh kejar orang lain. Kalau jadi kontraktor mana nak beli besi dan simen?

Orang lain dah kawal beratus-ratus tahun, macam mana nak kata tak payah pakai DEB. Kita sebagai anak watan mesti diberi peluang untuk mencapai taraf itu. Ramai yang terkial-kial, tiba-tiba kata compete freely. Orang Melayu masih ketinggalan dan mereka perlu diberi bimbingan, di mana kaum lain yang miskin mereka juga perlu dibantu. Janganlah kerana kita dah lepas, kata tak perlu pula.

S: Tapi Tan Sri, ada persepsi bahawa Umno itu tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu tapi Umno memperjuangkan kelompok tertentu, perjuangan untuk kroni?

J: Proses restorasi mesti ada, maknanya letakkan apa yang hak dalam Umno. Bawa kembali persatuan kepada Umno. Usaha meletakkan kumpulan ini bersama parti mesti ada. Mungkin kita panggil "Umno plus plus" termasuk badan-badan NGO, sertakan dalam pergerakan untuk majukan orang Melayu. Sekarang NGO main peranan yang penting seperti persatuan teksi, nelayan, pekebun, ketua kampung, dewan perniagaan. Satu pendekatan baru melibatkan badan ini mesti ada, termasuk badan belia.

S: Adakah ahli Umno sedia untuk bawa perubahan yang Tan Sri maksudkan ini?

J: Mengapa Datuk Onn Jaafar (pengasas Umno) boleh satukan orang Melayu dengan satu tujuan. Kata Datuk Onn selagi orang Melayu tidak bersatu selagi itu orang Inggeris akan menjajah negara ini sampai kiamat. Itu dikata bersatu teguh, bercerai roboh. Perkataan bersatu itu dimasukkan dalam cogankata Umno. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Kalau orang Melayu nak selamat maka proses restorasi untuk satukan orang Melayu untuk kukuhkan diri harus ada balik. Tiada yang mustahil.

Orang Melayu kena bersatu, atau kita akan ulang balik keadaan ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan, kera di hutan disusukan, anak dikendong mati kelaparan. Apa yang diungkapkan oleh Aminudiin Baki akan berlaku lagi. Kalau tak mahu bersatu, anak kita akan kehilangan hak.

S: PRU ke-12 menyaksikan golongan muda menjauhkan diri dari Umno dan BN. Apakah yang perlu dilakukan oleh parti ini untuk mengembalikan keyakinan generasi muda?

J: Umno harus incorporate falsafah dan idea orang muda. Orang muda nak ketelusan dan sesuatu yang adil, maka Umno perlu ada pendekatan baru yang sesuai. Setiap zaman berbeza kehendak. Umno mesti berubah mengikut kehendak, walaupun definisi orang muda adalah relatif. Orang muda tahun 50-an tidak akan sama dengan orang muda tahun 60-an.

S: Apakah harapan Tan Sri kepada perwakilan menjelang pemilihan minggu depan?

J: Perwakilan kena pilih pemimpin yang boleh selamatkan parti bukan pemimpin yang bawa keadaan menggoncangkan parti. Kena tengok "track record" dan bawa pembaharuan. (Pada) 1970 Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) kata siapa bekerjasama kafir, tak payah Yahudi atau Nasrani dia adalah kafir. Sekarang slogan "PAS for All". Kita tidak dengar lagi amanat Haji Hadi dilaungkan. Maknanya PAS buat adjustment. UMNO tak boleh statik. Kena berubah atas dasar mengikut kehendak zaman, kalau tidak Umno akan ketinggalan.

S: Apakah perbezaan Umno dulu dan Umno sekarang?

J: Umno tak sorok hukuman, terbuka dan boleh dikritik, dasar terbuka yang menyebabkan rakyat boleh bersuara dan mengkritik dan memperbetulkan kesalahan yang ada. Jangan pendek melihat Umno, dengan dasar terbuka, media terbuka, rakyat nampak kita tak tutup. Dasar keterbukaan jangka pendek dapat faedah kepada pembangkang dan mereka ambil kesempatan seluas-luasnya.

Umno perlu restorasi untuk mendengar suara, idea orang muda dan mengekalkan perjuangan asal. Seperti Restorasi Meiji kira-kira 150 tahun lepas. Dulu Jepun diperintah Shogun dan perang. Ia diambil alih dan dilakukan restorasi "all the good values" iaitu education dan loyalty kepada raja diterapkan. Bila rakyat kata ini apa yang mereka mahu, rakyat akan ikut. Proses restorasi ke arah perjuangan asal mesti dilakukan.

Orang bukan Melayu akan suka dengan Umno yang sesuai kerana Umno yang memajukan, yang memastikan sekolah Cina dan sekolah India ada. It was Umno yang adil, yang beri peluang kepada semua kaum. Parti lain belum ada satu yang nak dimegahkan dan bawa ke depan sehingga simbol pun masih tiada lagi. Mereka ini dari semasa ke semasa sentiasa bertelagah. BN simbol satu, perjuangan

S: Bagaimanakah Tan Sri melihat peluang Tan Sri dipilih sebagai timbalan presiden Umno?

J: Ini peluang yang terbaik untuk perwakilan memilih, kaji track rekod sebagai pemimpin. Bagaimana saya wujudkan bandar Melayu di Selangor; Shah Alam, Bangi dan Damansara.

S: Apakah perkara pertama yang Tan Sri akan lakukan sekiranya terpilih sebagai timbalan presiden Umno?

J: Saya akan kukuhkan parti. Hanya parti kuat yang boleh selamatkan negara. Kalau parti lemah dan bertelagah, kita dah lihat pertelagahan PM dan TPM, orang Melayu akan lemah dan orang Melayu berpecah. Wujudnya Parti Semangat 46 dan PKR kerana wujud pertelagahan. Negara kita ini unik, ada masyarakat berbilang kaum, kita tidak mampu untuk menerima keadaan perpecahan ini.

ADS