Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pembaca setia organ rasmi PAS Harakah - yang digantung permit penerbitan selama tiga bulan sejak minggu lalu - akan tetap boleh mengikuti perkembangan semasa parti itu apabila lebih 100,000 naskhah akhbar barunya Hujjah diedar esok.

Dengan laporan utama muka depan "Referendum tolak BN", akhbar itu dijual melalui pengedar biasa Harakah , kata ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman.

PAS meletakkan calonnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang mendakwa menteri besar sah Perak, berdepan calon BN Ismail Saffian dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang, 7 April ini.

hujjah frontpage 030409 Keluaran pertama Hujjah , selepas Harakah diharamkan sejak 23 Mac, memuatkan laporan terkini pilihanraya kecil yang dianggap "pungutan suara" terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, yang bakal mengangkat sumpah sebagai perdana menteri esok.

Ia juga menjadi referendum terhadap calon PAS itu - sama ada pengundi menyokong tuntutan sebagai menteri besar Perak atau Najib, yang terlibat dalam rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, Februari lepas.

Setebal 48 halaman dengan harga dikekalkan RM2, kandungan akhbar baru itu tidak jauh bezanya daripada Harakah , kata Ahmad Lutfi lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga memaklumkan akhbar itu melancarkan rayuan dana 'Bebaskan Harakah ' sejak semalam bagi memperjuangkan kebebasan media daripada Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang mewajibkan permit penebitan setiap tahun.

Tabung ini untuk melicinkan kempen kesedaran selepas tindakan penggantungan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga kepentingan maklumat dan laporan benar sampai kepada masyarakat.

Ahmad Lutfi berkata, rayuan dana ini sejajar dengan hasrat mahu melihat negara ini mengamalkan prinsip kebebasan media dengan memansuhkan akta kontroversi itu yang, menurutnya, sering disalahgunakan untuk kepentingan kerajaan.

"Perjuangan membebaskan Harakah ini bukan berakhir di tiga pilihan raya kecil tetapi akan diteruskan dengan lebih hebat lagi.

"Justeru saya merayu, kepada pihak yang bersimpati, pembaca dan penyokong untuk menyumbang dana bagi kami menjayakan kempen kesedaran ini," katanya.

Pembaca yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menyalurkan derma atas nama HARAKAHDAILY DOT COM di akaun Maybank bernombor 5640 7000 0336 .

Suara rasmi PKR Suara Keadilan juga digantung permitnya selama tiga bulan dan menerbitkan akhbar penggantinya Suara Keamanan , Selasa lalu.

ADS