Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CJ: Lapan hakim naik pangkat berdasar merit
Diterbitkan:  Apr 15, 2009 7:26 PM
Dikemaskini: 11:37 AM

Kenaikan pangkat tiga hakim Mahkamah Persekutuan dan lima hakim Mahkamah Rayuan adalah berdasarkan merit untuk memenuhi standard tertinggi badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata lapan hakim berkenaan patut berbangga kerana dipilih untuk mengisi kekosongan itu berdasarkan merit mereka, yang juga perlu untuk meningkatkan lagi penghormatan yang diberikan kepada mahkamah.

"Pihak-pihak mahu didengar dengan adil. Kami meletakkan kepercayaan kepada anda untuk mengekalkan keyakinan orang ramai. Dapat dikatakan bahawa harapan warganegara dan pelanggan adalah amat tinggi, selain itu, mereka juga mahu kes diselesaikan dengan cepat dan efisien," katanya semasa berucap selepas majlis angkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Tiga hakim Mahkamah Persekutuan dan lima hakim Mahkamah Rayuan berkenaan sebelum itu menerima surat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Zaki berkata dengan pelantikan bagi dua peringkat mahkamah rayuan itu, beliau berharap keefisienan akan dapat dipertingkatkan lagi dan kes-kes rayuan dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

Sehingga 9 April, Mahkamah Rayuan menyelesaikan 987 kes sivil hanya berdasarkan alasan perayu tidak berminat untuk meneruskan rayuan tanpa mengharapkan pendengaran penuh penghakiman yang lain, katanya.

"Untuk ini saya mesti ucapkan terima kasih kepada Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Raus Md Sharif dan Datuk Sulong Matjeraie. Saya tahu anda bekerja keras untuk memastikan kes-kes diselesaikan," katanya, sambil menambah, badan kehakiman juga perlu bekerjasama erat dengan Majlis Peguam Negara untuk penambahbaikan serta mempercepatkan penyelesaian kes.

Angkat sumpah

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan semasa ditanya oleh wakil media mengenai pelantikan itu, menyatakan rasa puas hati kerana merit diambil kira dalam pelantikan hakim.

Katanya majlis itu sentiasa bekerjasama rapat dengan badan kehakiman dan telah dirundingi dan memberikan pandangan mengenai pelantikan hakim pada mesyuarat dengan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

"Kami memberikan pandangan dalam JAC tetapi kami tidak terbabit secara langsung dalam JAC. Kami memberikan input kami dari segi perundingan, cadangan, dari segi siapakah hakim yang patut dinaikkan pangkat, dan pastinya selepas itu kami menyerahkan kepada JAC untuk membuat keputusan," katanya.

Ragunath berkata, amat penting bagi negara untuk mempunyai badan kehakiman kelas pertama untuk menarik pelabur asing ke negara ini.

Di majlis itu, Sri Ram, yang telah berkhidmat selama 15 tahun di Mahkamah Rayuan, bersama-sama dengan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff, 63, dan Datuk James Foong Cheng Yuen, 63, mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan di hadapan Zaki.

Sri Ram, 65, mencipta sejarah tersendiri sebagai peguam persendirian yang pertama dilantik terus menjadi hakim Mahkamah Rayuan apabila mahkamah itu ditubuhkan pada 1994. Beliau tidak pernah dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman atau hakim Mahkamah Tinggi.

'Tidak pernah beri komen'

Beliau akan berumur 66 tahun pada 16 Ogos ini, umur persaraan bagi hakim, tetapi Perlembagaan Persekutuan membenarkan pelanjutan selama enam bulan.

Sri Ram semasa ditemui pemberita berkata: "Seorang hakim tidak pernah memberikan komen (sidang akhbar). Sila tanya Ketua Hakim Negara".

Mohd Ghazali, bekas Peguamcara Negara, dilantik hakim Mahkamah Tinggi pada 1995 dan kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan pada 2002.

Foong, yang juga peguam persendirian, dilantik hakim Mahkamah Tinggi pada 1990 dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2005.

Dengan kenaikan pangkat ketiga-tiga mereka, Mahkamah Persekutuan kini mempunyai panel hakim maksimum 12 anggota.

Sementara itu, lima hakim Mahkamah Tinggi iaitu Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, 59, Datuk Ramly Ali, 56, Datuk Kang Hwee Gee, 64, Datuk Jeffry Tan Kok Wha, 59, dan Datuk Azhar@Izhar Ma'ah, 63, mengangkat sumpah jawatan hakim Mahkamah Rayuan di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Dengan pelantikan itu, Mahkamah Rayuan kini mempunyai 22 hakim. Pelantikan mereka berkuatkuasa hari ini.

ADS