Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kesemua ketua Pemuda di 24 cawangan Umno di kawasan DUN Penanti, mahu BN meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil di situ, kata ketua Pemuda bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said.

"Mereka mahu pilihanraya. Orang muda semangatnya lain," kata Mohd Zabidi kepada Malaysiakini hari ini.

Keputusan tersebut, katanya, dibuat dalam mesyuarat dengan ketua-ketua Pemuda cawangan Umno di kawasan tersebut, kelmarin.

kerusi dun penanti pulau pinang 200409 Dalam mesyuarat itu juga, mereka turut berbincang mengenai persiapan menghadapi pilihanraya kecil di situ selepas penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan Selasa lalu.

Kelmarin, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, berkata BN tidak menolak kemungkinan tidak menyertai pilihanraya kecil di DUN Penanti kerana menyifatkan ia satu pembaziran.

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu mendapat reaksi berbeza daripada mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mahukan BN bertanding di situ supaya BN tidak dilihat telah mengaku kalah.

'Ahli bosan'

Mengulas perkara itu, Mohd Zaidi berkata, sekiranya Umno dan BN tidak bertanding, ia akan dilihat seolah-olah mengakui kekuatan PKR di kawasan tersebut.

"Mungkin ada sedikit kekecewaan (ahli akar umbi jika BN tidak bertanding). Kita (seolah-olah) mengaku kalah awal sangat," katanya

Bagaimanapun, beliau mengakui ada cakap-cakap di kalangan ahli-ahli Umno akar umbi yang menyatakan mereka sudah bosan dengan pilihanraya kecil yang terlalu kerap diadakan.

"Mereka letih... Tetapi (jika BN bertanding) kemungkinan kebosanan itu diterjemahkan dengan mengundi BN dalam pilihanraya kecil," katanya

Sejak pilihanraya umum lalu, lima pilihanraya kecil telah berlangsung - tiga kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

Tiga kerusi parlimen itu ialah Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang manakala dua kerusi DUN berkenaan ialah Bukit Selambau dan Batang Ai.

Mesyuarat Rabu ini

DUN Penanti berada dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Difahamkan, Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid kini berada di luar negera.

Menurut Mohd Zaidi, Umno Permatang Pauh akan mengadakan mesyuarat Rabu ini khususnya untuk membincangkan persiapan kemungkinan menyertai pilihanraya kecil DUN tersebut.

Sementara itu, ADUN Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada BN perlu bertanding ataupun tidak di Penanti.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan BN boleh menang kerana terdapat kecenderungan akar umbi yang tertarik dengan kepimpinan Najib, yang juga presiden baru Umno.

Katanya, beliau akan turut sama berkempen untuk jentera pilihanraya BN bagi memastikan kejayaan parti tersebut, jika BN bertanding.

ADS