Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet, berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

“Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini untuk Najib Razak menjalani tahanan rumah dan selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai menteri pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” kata setiuasaha agung DAP itu dalam satu kenyataan hari ini

Loke turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan dan mandat yang diberikan untuknya berkhidmat dalam Jemaah Menteri sejak Disember 2022.

Dia turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang saya menerajui kementerian itu.

Menurut kenyataan itu, dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar serta segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020 selepas disabitkan kesalahan dalam kes SRC International yang melibatkan RM42 juta.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan di bawah Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengurangkan hukuman itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Pada September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pengampunan tambahan dalam bentuk tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, dengan syarat Najib membayar denda RM50 juta. Umno kemudian melancarkan tabung solidariti untuk membantu Najib membayar denda itu.

Loke sebelum ini mengumumkan hasrat meletak jawatan susulan keputusan tersebut dan kemudian menjelaskan peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa apabila Najib pulang ke rumah.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengketepikan perintah terdahulu untuk membebaskan Najib , 73, selepas pembayaran denda dan mengeluarkan perintah baharu yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Najib dan pihak pendakwaan berhubung permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes penyelewengan dana 1MDB pula.