Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Imigresen Malaysia telah menarik balik arahan yang melarang ibu Manohara Odelia Pinot, isteri kerabat Kelantan, daripada memasuki negara ini.

mahmood adam Dengan itu, Daisy Fajarina kini boleh masuk ke Malaysia untuk menemui anaknya di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam (foto) berkata larangan terhadap Daisy Fajarina, ditarik balik berkuatkuasa Isnin lalu.

"Larangan itu telah ditarik balik. Kita telah maklumkan kepada pihak kedutaan.

"Dan kedutaan kita akan memaklumkan kepada pihak sana (Indonesia)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, dalam satu sidang akhbar di Jakarta pada Isnin lalu, Daisy mendakwa beliau ditegah masuk ke negara ini pada 19 Mac lalu.

manohara odelai pinot mother daisy fajarina 230409 Daisy (foto) dilaporkan mendakwa, dimaklumkan oleh pegawai imigresen larangan itu dibuat atas permintaan istana Kelantan.

Menurut Mahmood lagi, penarikan balik larangan itu dibuat atas arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kami (di) imigresen cuma menerima arahan sahaja. Jadi, Jabatan Imigresen (hanya) pelaksana.

"Yang buat arahannya (tarik balik) adalah dari Kementerian (Dalam Negeri)," katanya ketika ditanya alasan larangan itu ditarik balik.

Mahmood tidak mengulas lanjut apabila diminta mengenai punca larangan tersebut, kerana katanya, beliau sedang bermesyuarat.

Duta Indonesia pertikai

Dalam perkembangan berkaitan, duta besar Indonesia ke Malaysia dilaporkan mempertikaikan larangan terhadap Daisy.

"Kita sudah menanyakan kepada keluarga kerajaan (istana) Kelantan. Saat ini kondisinya sehat-sehat saja, mereka sudah resmi dalam perkawinan.

"Tapi yang kita pertanyakan juga, kenapa ibu Manohara yang ingin bertemu dengan anaknya ditolak oleh mereka," Da'i Bachtiar dipetik berkata di Istana Merdeka, Jakarta hari ini.

Menurut laman web berita terkenal Detik.com , kedutaan republik itu sudah mengirim surat rasmi kepada Kementerian Luar Malaysia untuk meminta penjelasan tetapi setakat ini belum ada jawapan.

"Kerana masih beberapa hari (lalu) mengirimnya, belum ada jawaban," jelasnya lagi.

Da'i mengakui memang agak sukar mengembalikan Manohara Odelia ke Indonesia sebab bekas model muda itu berkahwin dengan kerabat tersebut.

Diminta mengulas isu penderaan, duta besar itu dipetik berkata:

"Itu kan masih informasi yang belum kita lihat secara langsung. Upaya yang kita lakukan, kita berkomunikasi dengan Sultan Kelantan, ya katanya kondisinya baik-baik saja."

ADS