PRN Melaka: Bagaimana Melayu akan mengundi Sabtu ini?
PRN MELAKA | Pengundi Melayu mewakili 71.7 peratus daripada keseluruhan 687,697 pengundi yang layak memilih pada Sabtu ini.
Ia menjadikan pengundi Melayu sebagai kumpulan paling ramai di 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka, sekali gus – di atas atas kertas – memberi kelebihan kepada pakatan PN-BN.
Namun, adakah blok yang besar itu masih boleh dianggap sebagai deposit tetap kedua-dua parti Melayu terbabit?
Apa sebenarnya yang dimahukan pengundi Melayu dan bagaimana mereka akan mengundi?
Malaysiakini meninjau tiga kawasan bagi memahami perkara itu.
Bukit Katil
Bukit Katil mempunyai 65.3 peratus pengundi Melayu dan kesemua calon yang diturunkan adalah berbangsa Melayu.
Adly Zahari (PH-Amanah) yang juga bekas ketua menteri memenangi kawasan itu sejak dua penggal lalu dengan sokongan 41.6 peratus pengundi.
Angka itu tidaklah begitu besar tetapi cukup menewaskan lawan Adly susulan perpecahan undi BN-PN pada ketika itu.
Namun, kali ini keadaan berbeza apabila PH pula berdepan risiko kehilangan undi akibat pertandingan empat penjuru termasuk kehadiran Bersama yang dijangka memburukkan lagi keadaan, serta penyertaan calon bebas, Abu Bakar Sabudin.
Bagi pengundi Bukit Katil, tidak ada dilema memilih antara calon Melayu atau bukan Melayu kerana semua calon bertanding adalah sebangsa saja.
Mereka cuma mahukan seorang Adun yang berkualiti, sering turun padang dan menyelesaikan masalah setempat.
"Kalau dijemput ke program dia boleh hadir, kalau ada masalah dia boleh turun padang untuk dengar dan tolong selesaikan,” kata pesara swasta, Mohd Raziq Omar, 56, kepada Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/voxpop1_546011.jpg)
Tambahnya, penduduk mahukan seorang wakil rakyat yang “dekat di mata” dan boleh lepak bersama-sama di kedai kopi.
Perkara itu disokong oleh pengurus restoran, Khairil Annuar Bachik, 45, dan pembantu kedai makan, Daim Salim, 34.
/file/attachments/orphans/voxpop12_587159.jpg)
"Kalau ada masalah jalan berlubang perlu diturap, kita beritahu dan tindakan segera diambil,” kata Khairil Annuar.
Daim pula berharap isu pengurusan pelarian dijadikan fokus.
"Kita harap kerajaan boleh selesaikan supaya tidak menimbulkan masalah kepada rakyat Malaysia," katanya yang tinggal di Jalan Bukit Baru.
/file/attachments/orphans/voxpop13_707278.jpg)
Seorang lagi pengundi, Muhamad Najmi Shaharudin, 30, berharap mereka dapat memilih Adun yang cakna dengan isu-isu kemudahan asas seperti jalan raya, lampu jalan, dan kebersihan.
Ayer Keroh
Kerusi Ayer Keroh menyaksikan pertembungan berbeza apabila pengundi disajikan dengan calon-calon Melayu dan Cina.
Berlaku pertembungan empat penjuru di situ, membabitkan Kerk Chee Yee (PH-DAP), Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Bersama), Gan Peng Lam (PN-Gerakan) dan Mohd Hamnaim Mohamad (Bersatu).
Seperti Bukit Katil, Ayer Keroh juga kerusi PH yang berpotensi dirampas pakatan BN-PN sekiranya pengundi Cina beralih sokongan kepada Bersama sebagai tanda protes.
Ayer Keroh kini menyaksikan peratusan pengundi kaum Cina merosot menyebabkan komposisi kaum kini hampir seimbang dengan Cina sebanyak 45.9 peratus dan Melayu 44.4 peratus.
Lapan peratus lagi ialah pengundi India.
Bagaimanapun, pendirian pengundi Melayu masih sukar dibaca di kerusi itu kerana ramai yang ditemui Malaysiakini enggan mendedahkan apa yang mereka mahu, apa lagi kecenderungan masing-masing.
Daripada segelintir yang berjaya ditemu bual, mereka berkata tidak akan mengundi berdasarkan garis kaum.
“Di sini kawasan bercampur, dekat dengan bandar saya rasa orang tak kisah wakil rakyat Melayu atau kaum lain.
"Apa yang lebih penting dia boleh bagi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat di sini," kata seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Rozilah, 51.
Bagi pengundi kali pertama yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fikri, latar belakang calon seperti pendidikan, pengalaman kerjaya dan penglibatan dalam kemasyarakatan lebih penting baginya.
"Selain itu saya harap wakil rakyat itu boleh bawa peluang ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kegiatan melibatkan anak muda di kawasan ini,” kata anak muda 20 tahun itu.
Gadek
Keadaan agak berlainan Gadek.
Di sebalik mempunyai 62.68 peratus pengundi Melayu, kawasan itu menjadi medan perebutan bagi seorang calon Melayu dan tiga yang lain berbangsa India, termasuk dari MIC yang mahu mempertahankan kemenangan lalu.
Kali ini MIC menurunkan calon baru, S Nadarajah, untuk menggantikan V Shanmugam.
Pencabar pula terdiri daripada K Jegasilan (PH), B Laveen (Bersama) dan calon tunggal Melayu, Laila Morinda Maon (Putra).
Selepas Melayu sebagai kumpulan pengundi majoriti, etnik kedua terbesar di DUN Gadek ialah Cina (19.05 peratus) diikuti India (17.21 peratus).
Seperti di Ayer Keroh, pengundian berdasarkan garis kaum tetap bukan keutamaan.
/file/attachments/orphans/voxpop1333_952448.jpg)
Pengundi yang dikenali sebagai Harith, 26, berpendapat walaupun terdapat wakil Melayu tetapi ia mungkin tidak dipertimbang sangat oleh majoriti pengundi di kawasan tersebut.
"Walaupun kali ini ada seorang calon Melayu, tetapi dari parti kecil (Putra).
“Saya rasa (calon Putra) agak sukar untuk menarik minat pengundi di sini," katanya.
Zack Jamil, 34, pula berkata keutamaannya dalam memilih wakil rakyat kali ini adalah berdasarkan keupayaan calon membawa transformasi dari segi pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat.
DUN Gadek, katanya, mempunyai kedudukan yang sangat strategik sebagai salah satu pintu masuk ke Melaka.
"Potensi ini perlu dimanfaatkan untuk menjadikan Gadek sebagai hab ekonomi yang mampu menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan perniagaan setempat,” katanya.
NOTA: Laporan ini tidak semestinya memberikan gambaran menyeluruh terhadap pola pengundian Melayu di Melaka memandangkan wawancara hanya melibatkan sampel yang kecil dan tidak meluas.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/435534345345345_450468.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.