Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiga puluh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memantau bangunan Baitul Salam dekat Selayang sama ada pengikut kumpulan Ahmadiah tetap berdegil ingin mengadakan solat Jumaat di situ.

Mereka berada lebih kurang setengah jam di kawasan pusat utama gerakan tersebut mulai kira-kira jam 2.30 petang, selepas solat Jumaat.

Beberapa pengikut kumpulan tersebut kelihatan berada di kawasan tersebut memerhatikan pegawai Jais membuat pemantauan di bangunan itu - yang turut digunakan kegiatan-kegiatan agama dan pendidikan kanak-kanak.

Seorang pegawai Jais memberitahu Malaysiakini di situ, mereka memantau bangunan dua tingkat di Kampung Nakhoda itu untuk memastikan pengikut Ahmadiah - yang diisytiharkan ajaran sesat - mematuhi larangan Majlis Agama Islam Selangor (Jais) sejak 24 April lalu.

"Kita tidak membenarkan mereka menunaikan solat Jumaat di sini. Jika berdegil, kami boleh mengambil tindakan," katanya, yang enggan namanya disiarkan.

"Kegiatan kumpulan ini semakin menonjol kebelakangan ini sehingga ada penduduk yang mengadu kepada Jais."

Awal minggu ini, Malaysiakini melaporkan, pengikut Ahmadiah akur larangan MAIS agar tidak mengadakan solat Jumaat di lokasi itu yang diasaskan mereka sejak 1950-an.

Berikutan itu, pengikut kumpulan tersebut akan mengadakan solat Jumaat di tempat lain tetapi lokasinya belum diputuskan lagi.

Mereka bagaimanapun akan tetap meneruskan ajaran itu dalam kegiatan-kegiatannya termasuk solat lima waktu di bangunan itu.

Selain surat larangan, papan-papan tanda "Qadiani bukan agama Islam" juga dinaikkan di sekeliling bangunan tersebut.

Qadiani adalah nama lain bagi gerakan Ahmadiah yang diasakan oleh Mirza Ghulam Ahmad di Qadiani, India.

ADS