750 jawatan doktor di Sabah, Sarawak: Doktor senior tapi gaji permulaan, siapa nak?
Kementerian Kesihatan (KKM) digesa menimbang semula rancangannya untuk menangani kekurangan doktor yang kronik di Sabah dan Sarawak, dengan dua kumpulan yang mewakili pengamal perubatan mempersoalkan sama ada tawaran 750 jawatan tetap itu memadai atau tidak untuk memenuhi keperluan kedua-dua negeri.
Walaupun menyambut baik inisiatif itu sebagai langkah menyelesaikan masalah yang berlarutan, mereka meragui sama ada tawaran berkenaan cukup menarik untuk menggalakkan doktor berkhidmat di Malaysia Timur.
Kebimbangan utama mereka berkisar pada tawaran gred UD10, gred permulaan bagi pegawai perubatan yang mungkin tidak menarik minat doktor yang sudah beralih ke sektor swasta atau mempunyai pengalaman bertahun-tahun.
“Sekiranya ada pegawai perubatan yang berminat untuk menabur bakti, ini merupakan peluang yang tidak patut dilepaskan.
“Ini memberi mereka peluang kedua untuk terus berbakti selepas penamatan kontrak yang dahulu.
“Namun demikian, offer UD10 mungkin tidak mencukupi memandangkan senioriti dan pengalaman mereka yang bertahun-tahun.
“Paling kurang patutnya UD12 dan ke atas serta insentif-insentif dan penyelarasan gaji yang adil dan munasabah,” kata jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Muhammad Yassin.
Presiden Yayasan AbiMedik, Dr Shahrizal Azwan Samsudin, menyuarakan pandangan sama, sambil menyatakan skim kontrak KKM diperkenalkan sejak 2016 dan ramai pegawai perubatan meninggalkan kementerian itu kerana ketidaktentuan prospek kerjaya.
Katanya, ramai antara mereka kini mungkin sudah mengikuti latihan kepakaran atau mengumpul pengalaman kerja yang luas, justeru tidak adil untuk menawarkan gred permulaan kepada mereka.
“Mungkin perlu ada beberapa lagi tingkatan gaji yang offer untuk orang yang lebih seniorlah.
“Sebab 10 tahun tu lama,” tambahnya.
Tawaran gaji tidak realistik
Menurut pengumuman KKM pada Khamis, kementerian itu sedang menjalankan pengambilan khas untuk mengisi jawatan pegawai perubatan tetap di Sabah dan Sarawak.
Tawaran itu terbuka kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak yang menjalani latihan siswazah antara 5 Dis 2016 hingga 14 Okt 2024, termasuk mereka yang kontraknya dengan KKM sudah tamat.
Seorang doktor yang pernah berkhidmat dengan KKM memberitahu Malaysiakini, gaji permulaan gred UD10 ialah RM3,840 sebulan.
“Takkanlah lantikan dah 10 tahun tapi bila kembali semula ke KKM ditawarkan gaji paling awal sebagai pegawai perubatan.
“Untuk konteks, kalau gaji permulaan UD10 dalam RM3,840 sebulan, kerja di sektor swasta adalah pada kadar RM8,000–RM10,000 sebulan.
“Rasanya ada ke doktor nak kembali ke KKM,” soal doktor itu yang enggan namanya disiarkan.
Malaysiakini telah menghubungi KKM untuk mendapatkan ulasan.
Perlu insentif lebih baik
Shahrizal menggesa KKM menyediakan pakej lebih menarik bagi menggalakkan pegawai perubatan berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Katanya, meskipun ada doktor yang mungkin berminat kembali berkhidmat dengan KKM, kemungkinan mereka menawarkan diri untuk bertugas di kedua-dua negeri itu rendah, khususnya dalam kalangan mereka yang sudah menetap di Kuala Lumpur atau bandar lain.
Antara cadangannya termasuk menambah baik infrastruktur kesihatan di kedua-dua negeri dan menawarkan insentif kewangan lebih baik, termasuk elaun wilayah yang lebih tinggi.
Shahrizal turut menyatakan pegawai perubatan yang ditawarkan jawatan tetap mungkin keberatan berpindah ke Sabah dan Sarawak kerana kos yang tinggi.
“Jadi kena ada satu pakej yang lebih baik untuk Sabah dan Sarawaklah.
“Maknanya tak selesai kalau kita offer dia, bawa dia masuk daripada luar untuk mengisi jawatan di Sabah dan Sarawak tapi sekiranya pakej tu tak menarik, dia tidak juga memberi satu kesan yang positif kan,” tambahnya.
Dia juga menggesa KKM melaksanakan inisiatif pengambilan seumpama itu bagi jururawat dan paramedik di Sabah dan Sarawak.
Ini menunjukkan KKM bagai tidak melakukan kajian yg teliti sebelum membuat tawaran tersebut...pihak atasan perlu meluangkan lebih masa bersama staff2 di lapangan, barulah boleh tahu keadaan yg sebenar, & bukan membuat draft & keputusan di dalam bilik pejabat sahaja...
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/doctorgeneric1_580908.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.