Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemilihan PAS Jun ini bukan sahaja panas untuk jawatan kanan, malah tempias bahang turut terasa kepada sayap Pemuda apabila empat tokoh dewan itu disebut-sebut bakal bersaing untuk menggantikan Salahuddin Ayub yang melepaskan jawatannya.

Timbalan dan naib ketua dewan tersebut Nasrudin Hassan dan Azman Shapawi Abdul Rani menyatakan minatnya, sementara bendahari Pemuda, Mohamad Zaki Ibrahim dan exco Pemuda, Mohd Firdaus Jaafar juga tidak ketinggalan, demikian menurut sumber-sumber Pemuda PAS.

Pencalonan ketua dewan itu ditentukan di peringkat negeri dengan calon-calon sekurang-kurangnya harus mendapat dua sokongan negeri.

Berdasarkan maklum balas daripada pemimpin-pemimpin Pemuda di peringkat negeri, mereka bersedia menaikkan beberapa calon agar bertanding untuk "menyuburkan demokrasi" dan "tidak mahu beri menang percuma", tambah sumber.

Mengulas lanjut mengenai perebutan ketua Pemuda di peringkat negeri, perebutan sengit berlaku di Kelantan, Kedah dan Perak.

Nasrudin, calon pilihan untuk menggantikan Salahuddin, seorang tokoh Pemuda PAS dari Pahang yang berkelulusan pengajian Islam dari Mesir.

Bagaimanapun Nasrudin - yang dianggap mewakili sentimen aliran pro-rundingan dengan Umno dan juga kerajaan perpaduan seperti saranan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - tidak akan dibiarkan tanpa saingan sengit satu lagi aliran yang digelar "kumpulan Erdogan."

Beliau antara pemimpin yang lantang membela seorang exconya, Nik Abduh Nik Aziz berhubung kecamannya terhadap pembantu bapanya Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam isu kerajaan perpaduan.

Nik Abduh tewas dalam perebutan jawatan ketua Pemuda PAS Kelantan hujung minggu lalu - dipercayai akibat kenyataan kontroversinya itu dan dianggap negatif dalam kumpulan tertentu - yang menjadi buah mulut orang di dalam dan luar parti.

Beliau mendakwa pembantu bapanya cuba menggeserkan menteri besar Kelantan dengan Abdul Hadi - berikutan kenyataan terbuka Nik Aziz menolak pendekatan condong kepada Umno.

Nasrudin juga antara tokoh yang mencabar Datuk Husam Musa untuk bertanding jawatan presiden parti dengan alasan naib presiden PAS itu tidak sesuai bertanding jawatan nombor dua jika beranggapan arah tuju parti masih kabur - dalam hubungan dengan Umno.

Difahamkan Azman Shapawi, mantan ketua Pemuda PAS Terengganu, berminat untuk memimpin Pemuda PAS Pusat. Beliau dikatakan tidak mempertahankan jawatan di peringkat negeri kerana ingin memberi tumpuan bagi memimpin Pemuda PAS di peringkat pusat.

Manakala Mohamad Zaki dan Mohd Firdaus adalah tokoh Pemuda yang menjadi wakil rakyat, masing-masing di Kelantan dan Kedah.

Mohamad Zaki adalah ADUN Kelaboran dan timbalan speaker DUN Kelantan, manakala Mohd Firdaus pula ahli parlimen Jerai.

ADS