Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KSN: Tidak sah gantung SUK, Ahmad
Diterbitkan:  May 12, 2009 3:45 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Pengantungan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang Negeri itu Datuk Ahmad Kamal Shahid tidak sah, kata ketua setiausaha negara.

Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, menteri besar tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung kerja kedua-dua pegawai tersebut, lapor Bernama .

Sebaliknya, tegasnya, kuasa untuk mengantung kerja seseorang pegawai awam terletak pada pihak berkuasa tatatertib yang berkenaan.

"Bagi penasihat undang-undang, kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan manakala bagi setiausaha kerajaan negeri, kuasa tersebut terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya di Putrajaya seperti dilaporkan.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar dalam talian yang menyatakan sebaik mengambil alih semula pentadbiran negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengantung tugas Abdul Rahman dan Ahmad Kamal.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah - bagaimanapun hari ini keputusan itu ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan.

Mohd Sidek berkata pengantungan kerja seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993.

Mengikut Peraturan 45(1) PU (A395/1993) pula, Mohd Sidek berkata seseorang pegawai awam boleh digantung kerja jika seseorang pegawai itu telah disabitkan oleh mana-mana mahkamah jenayah atau satu perintah sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah, perintah tahanan buang negeri pengawasan, kediaman terhad dan sebagainya telah dibuat terhadap pegawai itu.

Menurut agensi berita itu lagi, dalam keadaan kes itu, tambahnya, memandangkan alasan-alasan pengantungan tidak berbangkit maka kedua-dua pegawai tidak boleh digantung kerja.

Ketika ditanya sekiranya Mohammad Nizar tetap berkeras dengan keputusannya itu, beliau berkata: "Sebagai penjawat awam kita mengikut peraturan maka soal pertentangan tidak timbul, apa yang perlu ialah melaksanakan tugas mengikut peraturan".

Mohd Sidek berkata beliau akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada kedua-dua pegawai terbabit hari ini.

ADS