Seorang bekas pemimpin Bersatu yang kini bersama PKR mengemukakan enam cadangan kontroversi kepada kepimpinan tertinggi parti itu bagi memastikan kelangsungan dan kerelevanannya dalam mendepani sentimen politik identiti di negara ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata parti yang dianggotainya pada 2024 itu perlu kembali kepada semangat asal Parti Keadilan Nasional (PKN) kerana istilah nasional atau kebangsaan mempunyai nilai sentimental terhadap orang Melayu sejak awal era Reformasi.

Menurutnya, undi masyarakat Melayu kekal menjadi kelemahan terbesar PKR dan parti itu tidak boleh bergantung kepada sekutunya, Amanah mahupun DAP untuk mengatasi cabaran berkenaan.

Dr Muhammad Faiz Na'aman, Rakan Nasionalis Moderat, Ahli PKR

"Jika perlu, PKR wajar bergerak solo dan cari rakan politik yang ada elemen kebangsaan pro-Bumiputera contohnya parti Bersatu.

"Suka atau tidak, faktanya PRU14 dahulu PH menang kerana wujudnya aura Bersatu yang dilihat parti induk majoriti Melayu-Islam dalam PH ketika itu," katanya.

Selain itu, Muhammad Faiz juga menyarankan agar PKR mengetengahkan barisan pemimpin pelapis di peringkat nasional yang berwatak nasionalis moderat-progresif, berpendidikan tinggi, berintegriti serta berada dalam lingkungan usia pertengahan.

Dia turut menggesa kepimpinan PKR di beberapa negeri dan kawasan yang disifatkan sebagai kurang aktif serta menjadi penghalang kepada masyarakat luar untuk mendekati parti itu dirombak semula.

“Rombak balik kepimpinan PKR beberapa negeri atau kawasan yang dilihat sendu, kurang beraktiviti, syok sendiri dan yang dilihat sebagai batu penghalang untuk orang luar mendekati atau menyukai PKR,” katanya.

Dalam aspek komunikasi, dia mencadangkan rombakan menyeluruh terhadap sistem dan pengurusan bahagian penerangan PKR serta kerajaan Madani yang dilihat kurang berkesan.

“Mohon tukar Menteri Penerangan merangkap Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah JKOM (Jabatan Komunikasi Komuniti) Syam Ghaz kepada watak yang lebih dihormati masyarakat serta ahli-ahli akar umbi PKR sendiri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berkempen di Melaka

“Kurangkan ucapan atau ceramah berunsur politik yang menyelit perihal sakau, curi, samun, rompak dan perihal Najib (skandal 1MDB) kerana rata-rata rakyat biasa di luar sana sudah letih mendengarnya.

“Kurangkan ucapan dalam keadaan beremosi, menjerit atau suara tinggi/ keras,” katanya lagi.

Sebaliknya, Muhammad Faiz menasihatkan pemimpin parti supaya memberi tumpuan kepada sumbangan dan visi masa depan negara.

Walaupun, mengakui enam cadangan itu berisiko mengundang kecaman pelbagai pihak, namun dia menyifatkannya sebagai realiti yang wajar dipertimbangkan demi masa depan perjuangan PKR.