Veteran PKR Hassan Abdul Karim dipanggil ke Bukit Aman susulan sajak "Patik Tak Rela" yang mencetuskan kontroversi kerana dipercayai membantah keputusan pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong terhadap Najib Razak.

Hassan berkata, dia dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk siasatan berhubung sajak berkenaan yang dimuatnaik di Facebook Sabtu lalu.

"Saya akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Menurutnya, dia diminta hadir ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada pukul 3 petang ini.

Sabtu lalu, pemimpin lantang PKR itu melalui satu hantaran di Facebooknya menukilkan sajak "Patik Tak Rela" dipercayai merujuk kepada tahanan rumah bekas perdana menteri.

Sajak yang dihasilkan sebagai kebebasan bersuara oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang itu sebagai luahan rasa tidak puas hati berhubung tahanan rumah Najib.

Melalui sajak itu Hassan secara jelas membantah titah Agong berhubung tahanan rumah kerana menanggap keputusan berkenaan sebagai tidak adil.

“Ampun Tuanku,

Derhakakah patik berkata benar?

Tuhan menyeru bersikap adil sesama insan;

Tegakkan hukum di bumi Allah

Yang tak mengenal darjat dan kelas.

Ampun Tuanku,

Derhakakah patik menyanggah,

Ketidakadilan di depan mata?

Bersikap diam diri, ertinya rela bersubahat;

Memejamkan mata; membisukan suara,

sedang hati tak dapat menerima?

“Ampun Tuanku,

Jika patik berbicara begini,

Terpaksa membayar dengan harga yang tinggi,

Maka silakan,

Patik tidak lari, “ antara tulisnya dalam sajak berkenaan.

Pada 11 Nov lalu, Najib mula menjalani tahanan rumah di kediamanya Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di kediamannya sehingga 23 Ogos 2028, berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Aslam Zainuddin mengeluarkan perintah baru itu selepas membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 Nov yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi.