Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun "kumpulan Erdogan" mendapat banyak pencalonan untuk bertanding jawatan-jawatan kanan PAS, tetapi keadaan berlaku sebaliknya bagi pemilihan pucuk pimpinan Dewan Pemudanya.

Kemantapan aliran pro-muqabalah dapat dilihat daripada kejayaan Nasrudin Hassan mendapat pencalonan terbanyak untuk bertanding jawatan ketua dewan tersebut dalam muktamar, awal bulan depan.

Daripada 14 PAS negeri, 10 daripadanya mencalonkan Nasruddin, yang juga timbalan ketua dewan tersebut, untuk bertanding kerusi yang ditinggalkan oleh Salahuddin Ayub.

Manakala Kelantan mencalonkan bekas ketua Dewan Pemuda PAS negeri itu, Mohamad Zaki Ibrahim - dilihat cenderung kepada kumpulan Erdogan.

Mohamad Zaki, kini bendahari dewan tersebut, juga ADUN Kelaboran dan juga timbalan Speaker DUN Kelantan.

Tiga lagi negeri - Sabah, Negeri Sembilan dan Melaka - belum lagi mengumumkan pencalonan mereka.

Sokongan terhadap Nasrudin ini sekaligus menandakan kembalinya kepimpinan ulama menguasai kepimpinan Pemuda PAS selepas dewan itu dipimpin oleh Abu Bakar Chik pada akhir 1990-an.

Ulama muda

Selepas Abu Bakar, kepimpinan Dewan Pemuda PAS diambil oleh Datuk Mahfuz Omar, kini ahli parlimen Pokok Sena, dan kemudiannya Salahuddin Ayub, ahli parlimen Kubang Kerian.

Kedua-duanya bukan golongan ulama dan dilihat cenderungan kepada "kumpulan Erdogan" yang pro-cadangan mengukuhkan Pakatan Rakyat berbanding aliran pro-muqabalah yang sedia berunding dengan Umno.

Nasrudin mendapat pencalonan dari Perlis, Kedah, Pahang, Selangor, Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Perak.

Para pemerhati berpendapat, Mohamad Zaki setakat ini jauh di belakang untuk menandingi populariti Nasrudin, seorang ulama muda asal Pahang berkelulusan Mesir.

Dua lagi nama yang disebut-sebut berminat jawatan tersebut - naib ketua dewan tersebut Azman Shapawi Abd Rani dan ahli parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar - setakat ini gagal dapat pencalonan.

Bagi jawatan timbalan ketua pula, Azman Shapawi bagaimanapun mendapat empat pencalonan - dari Perlis, Terengganu, Johor dan Pulau Pinang.

Turut dicalonkan bagi jawatan tersebut ialah setiausaha Pemuda PAS pusat, Ahmad Sabky Yusof yang mendapat tiga pencalonan dari Kedah, Pahang, dan Sarawak.

Ahmad Sabky, seorang peguam berasal dari Besut, turut mendapat lima pencalonan dari Perlis, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Perak, bagi jawatan naib ketua.

Seorang lagi calon timbalan ketua ialah exco Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz - anak kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Empat calon timbalan

Beliau, yang gagal merebut jawatan ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan baru-baru ini, hanya mendapat satu pencalonan dari Selangor.

Bagaimanapun, beliau turut mendapat dua pencalonan - dari Kedah dan Pahang - untuk bertanding jawatan naib ketua.

Seorang lagi yang dicalonkan bagi jawatan timbalan ketua, Musaddak Ahmad - mantan ketua Pemuda PAS Kedah.

Dengan itu, seramai empat orang telah dicalonkan setakat ini untuk jawatan tersebut.

Mengikut peraturan, setiap calon harus mendapat sekurang- kurangnya satu pencalonan dari Pemuda PAS negeri untuk layak bertanding.

Setiap negeri akan menghantar 17 perwakilan, termasuk ketua Pemuda PAS negeri dan setiausahanya, ke muktamar PAS ke-55, awal Jun.

ADS