Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khir: PKR 'gila talak' dan amal politik 'bogeyman'
Diterbitkan:  Jun 1, 2009 2:23 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyifatkan PKR sebagai 'gila talak' apabila hampir saban hari sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil DUN Penanti, tetap menghentam dan menyerang Umno dan BN walaupun calonnya tidak bertanding.

Dalam pilihanraya kecil semalam, calon PKR, Mansor Othman menang dengan majoriti 5,558 undi. Beliau mendapat 6,052 undi manakala tiga calon bebas - Aminah Abdullah, mendapat 392 undi, Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Ketiga-tiga mereka hilang deposit.

Hanya 46.15 peratus atau 7,100 orang keluar pengundi keluar mengundi dan merupakan peratusan terendah dalam sejarah pilihanraya Malaysia.

Bagaimanapun, kata Dr Mohd Khir, PKR menyalahkan BN kerana ramai yang tidak keluar mengundi.

"Kata mereka ketiadaan BN menyebabkan ramai tidak berminat keluar mengundi," tulis ketua pembangkang DUN Selangor itu dalam blognya hari ini.

Menurutnya, ada pula yang mendakwa BN menghalang orang ramai keluar mengundi, termasuk menaja rombongan keluar dari Penanti.

Pengundi hantu

"Sungguh melucukan ada pula pemimpin muda mereka yang bersedia menghalang mana-mana bas keluar dari Penanti ketika hampir hari pembuangan undi. Jika dulu mereka kata pengundi hantu lalu halang bas masuk ke kawasan pilihanraya kecil.

"Hari ini mereka mahu halang bas keluar pula kononnya hendak halang pengundi yang sah dari keluar kawasan pilihanraya. Mereka menentukan peraturan, mereka membuat keputusan dan mereka melaksanakan penguatkuasaan.

"Namun apabila diperhatikan polemik dan politik PKR dan parti-parti sekutunya sejak menang beberapa negeri sehingga sekarang ini, kenyataan paling sesuai bagi cara mereka mentadbir dan berpolitik ialah 'politik bogeyman '," tulis Dr Mohd Khir dalam blognya hari ini.

khir toyo Katanya, mereka menjadikan BN dan Umno sebagai boogeyman atas apa sahaja mala petaka, nasib malang dan kegagalan mereka, mahupun sesiapa sahaja yang boleh mengundi.

"Kempen mereka, kenyataan mereka dan ceramah mereka meletakkan apa sahaja kesalahan atau kekurangan atas BN.

"Jika kita masih ingat suatu ketika dahulu, masalah jerebu juga salah pemimpin BN yang kononnya membiarkan maksiat berleluasa.

"Sudah tentu idea tersebut tidak lagi digunakan sekarang. Ceramah dan hasutan mereka dalam bentuk baru tetapi hantunya atau boogeyman tetap BN.

"Jika ada orang kena bunuh pun, maka mereka mencari pemimpin BN untuk dijadikan boogeymannya . Jika ada jalan berlopak pun mereka menunjuk jari kepada pemimpin BN

sungguhpun jalan tersebut di bawah kendalian PBT negeri yang mereka tadbir.

Sokongan berkurangan

"Malah jika ada anak gagal mendapat tempat di institut pengajian tinggi yang mereka mahu juga salah pemimpin BN," tulis Dr Mohd Khir yang juga ketua pembangkang DUN Selangor.

Justeru, tulisnya, sungguhpun BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, nama BN tetap disebut "kerana politik mereka ialah politik menyalahkan orang lain".

"Saya andaikan politik boogeyman ini mungkin ada sedikit sinar dalam beberapa tahun akan datang sebelum rakyat mulai meluat dan menyampah.

"Kecenderungan ini sudah nampak dalam pilihanraya di DUN Penanti. Sungguhpun media alternatif seperti Malaysiakini dan Harakahdaily memaparkan kenyataan bahawa PKR menang besar, namun realitinya sungguh berbeza.

"Selain jumlah keluar mengundi yang rendah, jumlah undi kepada PKR juga merosot lebih seribu undi. Pada 2008, (Mohammad) Fairus (Khairuddin) dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

"Realitinya, sokongan terhadap PKR di kubu kuatnya sendiri sudah berkurangan. Mungkin sudah ramai yang bosan dengan taktik kempen menjadikan BN sebagai boogeyman ini. Hanya masa akan menentukan," tulis Dr Mohd Khir lagi.

ADS