Kemelut yang sedang melatari usaha membawa Najib Razak kembali ke rumahnya – yang sudah diwartakan sebagai penjara – tidak sekadar melibatkan persoalan teknikal undang-undang, kata Putra.

Mengakui tetap bersimpati kepada Najib, presiden parti itu, Ibrahim Ali, berkata isu berkenaan perlu ditangani dengan berhati-hati kerana membawa kesan yang besar kepada Malaysia.

Persoalan asas dalam kemelut itu, katanya, ialah kes kedua yang terkait dengan Najib dan bekas perdana menteri itu sudah disabitkan bersalah, justeru dihukum penjara 15 tahun serta denda lebih RM11 bilion.

Ketetapan itu, tambah Ibrahim, sudah diputuskan oleh mahkamah sebelum denda RM50 juta dijelaskan oleh pihak Najib.

“Kes nombor dua – iaitu melibatkan 1MDB – belum ada pengampunan.

“Kes SRC International (Sdn Bhd) sudah selesai, OK, tapi oleh kerana sudah ada penghakiman kes kedua, ia tidak boleh dirangkumkan dengan kes nombor satu (SRC International).

“Inilah sebabnya mengikut fahaman saya mengapa peguam negara kena pergi semula ke mahkamah untuk mendapat pandangan atau keputusan yang jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipelihara.

Walaupun menganggap dirinya sebagai “pemimpin kerdil” dan bersimpati terhadap Najib, mempertahankan kedaulatan undang-undang tetap perlu diutamakan.

“Ia merupakan isu teknikal tapi besar kesannya dari segi rule of law (kedaulatan undang-undang) supaya tidak ada pihak yg akan mencabar pula dgn memohon semakan kehakiman,” katanya lagi.

Isu itu timbul susulan terhalangnya Najib daripada menjejakkan kaki ke rumahnya – yang sudah diwartakan sebagai kawasan penjara – pada Jumaat lalu ekoran pertikaian tafsiran notis yang dikeluarkan mahkamah kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Najib dijadulkan menjalani baki hukuman penjaranya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta membayar denda RM50 juta.

Menurut Ibrahim, setiap rakyat perlu dilayan secara sama rata di sisi undang-undang, manakala pihak yang melakukan kesalahan perlu menerima hukuman yang ditetapkan.

Jika ada mana-maan orang enggan dihukum atau dipenjarakan, tambah Ibrahim, mereka perlu mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan.

“Apabila terpalit atau melakukan kesalahan, terimalah padahnya,” tambah bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.

Pada masa sama Ibrahim berkata, dia memilih untuk bersabar seketika bagi memberi ruang kepada Jabatan Peguam Negara menyelesaikan isu perundangan yang berbangkit.

“Apabila bukti atau fakta sudah jelas, (barulah) masuk gelangang.

“Jadilah manusia atau pemimpin yang tidak mengharu-birukan rakyat. Sebab itu saya tidak suka kepada ‘gelombang biru’ kerana ia membuat langit tidak selalu cerah,” katanya sinis.