Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno T'ganu: Penyandang tiga jawatan utama digugurkan
Diterbitkan:  Jun 22, 2009 2:03 AM
Dikemaskini: Jun 22, 2009 3:25 AM

Penyandang tiga jawatan utama dalam badan perhubungan Umno Terengganu - setiausaha, ketua penerangan dan bendahari - digugurkan daripada jawatan masing-masing malam tadi.

Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia merupakan antara usaha untuk memulihkan Umno Terengganu yang sebelum ini berpuak-puak.

"Ini cara saya akan pimpin Umno Terengganu dengan bantuan Menteri Besar Datuk Ahmad Said," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Umno negeri malam tadi, lapor Bernama.

Ditanya sama ada tindakan itu diambil ekoran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua Datuk dalam Umno negeri, beliau berkata:

"Bagi saya yang paling penting ialah untuk pikul tanggungjawab. Mereka yang lepaskan jawatan tak semestinya tugas dan tangungjawab mereka lebih mudah kerana mereka ada tanggungjawab yang harus dipikul".

Hishammuddin juga menafikan tindakan tersebut menampakkan beliau seolah-olah cenderung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya berkata ia mendapat 'restu' semua pemimpin Umno bahagian.

Ekoran itu, ketua Umno Hulu Terengganu yang juga Speaker DUN Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai setiausaha menggantikan Datuk Rosli Mat Hassan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga ahli parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Chik pula dilantik sebagai ketua penerangan menggantikan Datuk Zuber Embong.

Manakala timbalan ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Rahin Mohd Said dilantik sebagai bendahari menggantikan Datuk Roslan Awang Chik.

Hishammuddin juga mahukan semua pihak ketepikan sikap berpuak-puak .

Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh tidak menghadiri mesyuarat malam tadi kerana kini melanjutkan pelajaran di luar negara.

ADS