Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada poster Hadi walaupun isu k'jaan perpaduan reda

dikemaskini Poster presiden PAS tetap tidak dinaikkan dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai walaupun isu kerajaan perpaduan dalam parti telah reda susulan keputusan terbarunya dan Pakatan Rakyat semalam.

Ketiadaan poster Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak berkaitan dengan isu politik nasional, kata Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Nasir Daud hari ini.

"Setakat ini, tidak menaikkan lagi poster Haji Hadi. Poster Haji Hadi tidak ada kena-mengena dengan isu politik nasional," katanya kepada Malaysiakini .

Setakat ini, tambahnya, PAS Kelantan masih tetap menggunakan strategi "lokalisasi" dengan menonjolkan poster Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga menteri besar.

Malaysiakini minggu lepas melaporkan, jentera pilihanraya PAS negeri berhasrat menonjolkan poster calon bersama Nik Aziz, tidak lagi gandingan kedua-duanya seperti pada pilihanraya kecil sebelum ini.

PAS Kelantan bagaimanapun bertegas menafikan ketiadaan poster presiden mereka mempunyai kaitan dengan pergeseran Nik Aziz dan Abdul Hadi berhubung isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

Ditanya mengenai strategi kempen BN yang mungkin bertahan setelah gabungan pembangkang termasuk PAS memutuskan untuk menolak cadangan kontroversi Abdul Hadi, Nasir berkata:

"Itu saya tidak tahu, itu masalah BN."

Tambahnya, keputusan PAS semalam memberi semangat kepada jentera parti untuk berkempen di kawasan tersebut.

Nasir berkata Abdul Hadi bagaimanapun akan terlibat dalam sebahagian strategi kempen PAS untuk mempertahankan kerusi negeri itu.

Beliau, yang juga ahli parlimen Marang, dijangka hadir sekurang-kurangnya di dua program - pengumuman calon PAS Jumaat ini dan hari penamaan calon, 6 Julai.

Hari mengundi DUN tersebut dijadualkan pada 14 Julai.

ADS