Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia mengesahkan jadual pembayaran gaji pekerjanya di Malaysia dilewatkan sementara ke penghujung setiap bulan hingga Mac 2027, dengan syarikat yang berdepan masalah itu memberi alasan pelarasan operasi.

Pelarasan dalaman pembayaran gaji itu dibuat ketika AirAsia berdepan tekanan kewangan yang semakin meningkat susulan lonjakan kos bahan api jet, sementara Putrajaya sebelum ini menegaskan kerajaan belum menandatangani sebarang perjanjian untuk memberikan sokongan kewangan kepada syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia Tenggara itu.

Dalam kenyataan kepada New Straits Times pada 27 Nov, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tharumalingam Kanagalingam, yang lebih dikenali sebagai Bo Lingam, memberi jaminan gaji akan terus dibayar penuh kerana pelarasan itu tidak menjejaskan jumlah gaji yang berhak diterima pekerja.

“Kami sedar sebarang perubahan pada jadual pembayaran biasa mungkin memerlukan ‘Allstars’ (pekerja) kami menyesuaikan diri dan kami menghargai kesediaan mereka memahami keadaan ini serta kesabaran mereka sepanjang kami menyelesaikan proses peralihan ini,” katanya seperti dipetik.

Terdahulu pada 27 Nov, Reuters melaporkan gaji sepanjang tempoh lima bulan di bawah jadual yang diselaraskan itu akan dibayar pada 30 haribulan setiap bulan atau hari terakhir Februari.

ketua pegawai eksekutif AirAsia Group Bhd Tharumalingam Kanagalingam

Agensi berita itu, yang merujuk e-mel dalaman yang dilihatnya, berkata kandungannya disahkan dua individu yang mengetahui perkara itu, dengan seorang daripada mereka memaklumkan AirAsia sebelum ini membayar gaji selepas pertengahan bulan tetapi lebih awal dari jadual baru tersebut.

Laporan itu menyusul tindakan Kesatuan Juruterbang AirAsia Filipina memfailkan notis mogok selepas 90 juruterbang diberhentikan kerja, dengan syarikat penerbangan itu menyatakan pengurangan tenaga kerjanya berpunca daripada tekanan berterusan terhadap kos operasi.

Ketika berucap di Kamar Khas Dewan Rakyat pada 26 Nov, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menegaskan sekali lagi kerajaan belum membuat sebarang perjanjian atau komitmen untuk memberikan bantuan kewangan kepada AirAsia, termasuk melalui jaminan pinjaman atau suntikan dana awam.

Bagaimanapun, katanya kerajaan boleh mempertimbangkan campur tangan jika masalah kewangan AirAsia bertambah buruk dan sokongan itu diperlukan, dengan Putrajaya bersedia melindungi dana awam serta memastikan perhubungan udara tidak terganggu.

Sekiranya Malaysia bersetuju memberikan sokongan itu, Amir berkata kerajaan akan mensyaratkan AirAsia memberi keutamaan kepadanya berbanding pemberi pinjaman lain.

Sebelum ini, AirAsia memaklumkan pihaknya sedang berusaha mendapatkan sehingga AS$1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa dan RM700 juta melalui kemudahan kredit tempatan.

Kerugian suku tahunan

AirAsia kini mencatat kerugian selama tiga suku tahun berturut-turut namun jumlah kerugian terbaru lebih kecil berbanding suku sebelumnya.

Tunai dan baki bank syarikat penerbangan itu berjumlah RM905 juta setakat 30 Sept, susut lima peratus berbanding akhir Jun.


BACA LAGI: AirAsia kurangkan kapasiti, perketat kawalan kos, naikkan tambang susulan tekanan harga bahan api


Dalam bahan pembentangan kepada pelabur yang disertakan bersama keputusan itu, AirAsia dilaporkan berkata pihaknya sedang mengambil langkah menjimatkan tunai dengan menggantung laluan yang tidak berdaya maju dan memulangkan 25 pesawat kepada pemberi pajak.

Katanya, lebih banyak pesawat mungkin dikeluarkan daripada armadanya pada 2027, sementara penstrukturan semula hutang dengan pemiutang sedang dijalankan dalam usaha menyusun semula perniagaan sebelum membangunkannya semula pada 2028.

Pada awal minggu ini, Bo turut berkata keputusan suku ketiga memberi petunjuk “tempoh paling sukar sudah berlalu”, namun mengingatkan kos bahan api dijangka meningkat lagi pada suku keempat.

[Baca laporan asal]