Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Manohara mahu bina masjid hasil drama 'Manohara'
Diterbitkan:  Jul 15, 2009 11:06 AM
Dikemaskini: 5:04 AM

Manohara Odelia Pinot, yang masih berkrisis dengan suaminya putera Sultan Kelantan, bercadang membina masjid daripada hasil bayaran lakonan dalam siri drama televisyen mengenai kisah hidupnya.

"Rencananya saya mau bangun masjid, ini lagi cari-cari tanah dan saya mau buat yayasan juga," beliau dipetik berkata di Jakarta semalam.

manohara odelia pinot malaysiakini interview 290609 05 Bekas model muda itu belum terfikir untuk membeli mobil mewah atau rumah besar kerana ingin menderma sebagian pendapatannya - yang dispekulasikan sehingga ratusan ribu ringgit - untuk kegiatan amal, lapor akhbar web Detik.com .

Siri drama TV - disebut sinetron di Indonesia - yang memakai namanya Manohara diilhamkan daripada kisah peribadinya yang berumahtangga dengan kerabat istana Kelantan.

Bagaimanapun drama itu dilaporkan berakhir dengan babak-babak penuh kegembiraan, tidak seperti nasib buruk yang didakwa menimpanya sewaktu bersama Tengku Muhammad Fakhry ibn Sultan Ismail Petra.

Ia akan ditayangkan mulai 20 Julai ini di stesen televisyen RCTI.

Manohara, yang dibesarkan di luar negara, dilaporkan terpaksa belajar bahasa Indonesia bagi melancarkan dialognya dalam drama tersebut - antaranya dengan membaca akhbar dan majalah tempatan di republik itu.

Manohara, bergelar Cik Puan Temenggong Kelantan, memainkan watak utama di sisi pelakon muda kacak Dude Herlino yang banyak membantu wanita itu, yang pertama kali berlakon, termasuk dengan berbual bagi membina keakraban pasangan tersebut.

"Banyak ngobrol, untuk tahu apa yang kita mau. Lama-lama ada chemistry dan acting -nya juga nyaman," Dude dilaporkan berkata ketika di studio stesen TV tersebut bersama barisan pelakonnya, termasuk Manohara.

Pelakon tersebut juga dipetik berkata wanita 17 tahun itu seorang yang mesra dan profesional sewaktu di tempat penggambaran.

Bagaimanapun, seperti gosip yang melanda dunia glamor itu, Manohara dikatakan tidak berdisiplin dan sering datang lambat untuk membawa wataknya. Lakonannya pula dikatakan kaku.

ADS