Utusan tarik balik berita Nik Aziz

   

Utusan Malaysia memohon maaf kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung beritanya bulan lalu yang menyebut menteri besar Kelantan menegaskan "nasihatnya mesti didengar" pemimpin atasan PAS.

NONE Akhbar itu juga menarik balik sepenuhnya berita "Nasihat saya mesti didengar" yang diterbitkan pada 15 Jun lalu berhubung isu kerajaan perpaduan yang menjadi kontroversi besar dalam parti tersebut.

Pada 17 Jun, Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS menafikan laporan dan menyifatkannya "satu hasutan untuk mengajak orang ramai membencinya dan parti itu", termasuk menjelang pilihanraya kecil DUN Manek Urai baru-baru ini.

Beliau kemudian mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan.

"Saya nafikan sekeras-kerasnya, penggunaan perkataan 'mesti'... nasihat saya mesti didengar. Ini bukan watak saya, beri nasihat kepada orang lepas itu paksa orang dengar, ia telah disiar dalam Utusan Malaysia , lebih-lebih lagi selepas itu penyiaran artikel yang ditulis seseorang.

"Perkara ini saya telah serahkan kepada peguam untuk ambil tindakan, terpulang kepada peguam apa tindakan seterusnya (sama ada untuk saman)," Nik Aziz dipetik berkata.

Permohonan maaf itu diterbitkan di halaman depan Utusan Malaysia (foto kanan) dan juga di sisi kanan laman web akhbar tersebut hari ini.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In