Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan sedia beri tempat perhimpunan aman
Diterbitkan:  Aug 2, 2009 4:10 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Kerajaan bersedia menyediakan tempat yang bersesuaian kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, seperti di stadium, untuk mengelak daripada berhimpun di jalanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Kita boleh bagi mereka stadium, di mana mereka boleh bertempik sampai subuh, tapi janganlah buat kacau di jalanan," kata Najib mengulas perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di ibu negara semalam.

Perhimpunan itu yang mendesak kerajaan agar menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap tidak adil, lapor Bernama.

Perdana menteri bercakap dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Pagoh, dekat sini, yang turut dihadiri oleh ketuanya Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga timbalan perdana menteri.

Najib juga berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak polis sama ada akan mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram itu.

Katanya, polis mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan serta ketenteraman awam, dan tidak mahu kejadian semalam berlaku secara berterusan.

"Terpulang kepada pihak berkuasa (untuk mengambil tindakan). Demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang tidak patut diteruskan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, pihak pembangkang telah menjadikan perhimpunan haram itu sebagai bahan politik untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan itu kejam dan tidak bertindak adil dengan undang-undang yang "draconian."

"Kita kena menjelaskan kepada rakyat tentang apa yang telah dijalankan oleh kerajaan," katanya.

Polis menahan 589 orang selepas mereka terlibat dalam perhimpunan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya akan menyiasat penglibatan pemimpin pembangkang di perhimpunan itu.

Mereka termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali; Anggota Parlimen Batu Tian Chua; ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang; dan Presiden Pas Datuk Abdul Hadi Awang; serta ahli Jawatankuasa Pas Pusat Mohamad Sabu.

Najib turut ditanya mengenai kenyataan Anwar di Muar semalam yang menyatakan bahawa parti pembangkang kini menumpukan usaha mereka di Johor, yang merupakan kubu kuat BN dalam persediaan menghadapi pilihanraya umum ke-13.

"Itu apa yang dia cakap, kita masih yakin Umno Johor boleh mempertahankan kedudukan Umno dan BN di Johor," katanya.

ADS