Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas ketua cawangan Umno Bukit Bendera Mentakab, Pahang, Datuk Alimudin Syawal mengesahkan beliau telah keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Alimudin berkata beliau membuat keputusan Sabtu di hadapan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan kenyataan dalam blog bekas timbalan perdana menteri mengenai perkara itu hari ini.

NONE Blog tersebut menyatakan Alimudin telah mengisytiharkan dirinya keluar dari Umno dan mengumumkan menyertai PKR.

"Pengumuman itu dibuat oleh beliau sendiri di hadapan Datuk Seri Anwar Sabtu lalu di Mentakab, Pahang," tulis blog tersebut.

Menurut Alimuddin beliau membuat pengumuman tersebut di Taman Saga Mentakab dalam satu majlis yang dihadiri oleh Anwar di situ.

Katanya, beliau bertindak keluar Umno kerana "tidak wujud ruang demokrasi dalam Umno".

"Saya dukacita, kebebasan bersuara tidak ada dalam Umno. Kalau dikongkong, (maka) tidak guna jadi ahli," katanya.

Menurutnya, beliau telah menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian Temerloh pada pagi Sabtu lalu untuk membentangkan satu usul meminta perdana menteri mewartakan hari Jumaat sebagai hari cuti umum.

"Sudah dua kali - tahun lalu dan tahun ini - bahagian tidak memberi peluang kepada ahli berucap (dalam mesyuarat bahagian). Ahli sepatutnya mengusulkan apa yang mereka tidak puas hati.

"Oleh kerana tidak ada peluang, apa guna saya berjuang dalam Umno. Nak bersuara tak boleh, apa gunanya," tambahnya.

Bagaimanapun, kata Alimudin, beliau tidak ada sebarang masalah dengan Umno bahagian.

"Tetapi, Umno bahagian mesti memberi peluang (kepada ahli) memberi idea baru. Sindrom ‘angguk, kipas' tak ke mana," katanya.

ADS