Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bagan Pinang: Ceramah Anwar kurang sambutan, kata Khairy
Diterbitkan:  Sep 18, 2009 5:52 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Ceramah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua, tiga hari lalu di Bagan Pinang yang kurang sambutan, memberikan gambaran bahawa sokongan kepada BN masih lagi di tahap yang kuat, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Namun, katanya, BN tidak akan mengambil mudah persiapan menghadapi pilihan raya kecil DUN tersebut pada 11 Oktober ini, meskipun sudah ada petanda awal bahawa usaha parti pembangkang untuk menawannya, tidak akan berhasil.

Katanya, BN yakin akan terus mendapat sokongan padu pengundi di kawasan tersebut selepas kempen awal parti pembangkang di situ baru-baru ini tidak mendapat sambutan.

"Tetapi kita tidak akan ambil mudah, kempen kita akan bergerak 100 peratus dari sekarang dan Pemuda akan menghantar jentera agak besar, dari peringkat tempatan, Negeri Sembilan dan negeri lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada petugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibunegara hari ini.

Menurutnya, hasil laporan daripada mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menunjukkan jentera pilihan raya BN kini telah benar-benar sedia di setiap peringkat.

Khairy berkata, mesyuarat penyelarasan itu telah mengenal pasti beberapa strategi yang akan diguna pakai bagi kempen kali ini termasuk daripada segi penerangan, mengenal pasti pengundi dan lain-lain.

Bagaimanapun baginya, apa yang paling penting keyakinan untuk BN mengekalkan tradisi kemenangan kerusi itu adalah berdasarkan kesungguhan, komitmen, perpaduan di peringkat Umno Bahagian Teluk Kemang dan di peringkat Umno Negeri Sembilan itu amat baik bagi memiliki jentera yang kuat.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan pada 11 Okt dan penamaan calon pada 3 Oktober. Ia diadakan berikutan kematian Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September lepas akibat jangkitan dalam darah.

Sementara itu, mengulas mengenai program sumbangan hari raya Pemuda Umno hari ini, beliau berkata itu adalah sebahagian daripada pendekatan turun padang yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain menyampaikan sumbangan kuih raya kepada petugas di IPD Dang Wangi, Balai Bomba Hang Tuah dan Unit Kecemasan Hospital Besar Kuala Lumpur, mereka turut meninjau orang ramai yang pulang ke kampung di Hentian Bas Jalan Duta.

"Bagi saya setiap sayap Umno di setiap peringkat mesti ikut jejak langkah Perdana Menteri yang sendiri telah turun ke Puduraya sampai dua kali dan tinjauan mesra di Ibu Kota ni dah banyak kali, kalau kita Pemuda Umno tidak mencontohi pendekatan Perdana Menteri maka saya rasa rakyat akan fikir Perdana Menteri seorang saja yang buat," jelasnya.

- Bernama

ADS