Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mengantuk, hujan, pandu laju punca kemalangan maut
Diterbitkan:  Sep 25, 2009 4:24 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Memandu melebihi had laju, cuaca yang tidak menentu dan pemandu mengantuk merupakan tiga punca utama yang mengakibatkan kemalangan maut pada musim perayaan kali ini.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh berkata ini adalah sebab utama kemalangan maut yang dikenalpasti menerusi Ops Sikap ke-20 sejak 13 Sept lepas dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri.

"Ada kemalangan maut yang direkodkan melibatkan pemandu mengantuk tidak cukup rehat, ada pula yang memecut tanpa menghiraukan had laju yang dibenarkan lebih-lebih lagi pada musim hujan pada waktu ini yang kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai menyebabkan mereka tidak sempat menekan brek," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan topi keledar kepada pengguna motosikal di Plaza Tol Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.

Suret berkata sejak operasi itu bermula pada 13 Sept lepas, purata kemalangan maut setiap hari adalah 17.5 orang berdasarkan sehingga hari ini seramai 210 orang telah maut dalam kemalangan jalan raya.

Walaupun Ops Sikap kali ini mencatatkan jumlah kemalangan maut paling tinggi sejak ia dilancarkan pada 2001, jumlah itu masih rendah berbanding kadar harian sebanyak 18 orang setiap hari pada hari biasa, dan sebelum Ops Sikap dilancarkan pada 2001 di mana purata kematian pada musim perayaan adalah 23 orang setiap hari, katanya.

Suret berkata Kementerian Pengangkutan dan JKJR telah menggariskan 10 'Petua Emas Keselamatan Jalan Raya' untuk penunggang dan pembonceng motosikal serta pemandu kereta pada musim perayaan dan jika pengguna jalan raya mengamalkannya, mereka pasti selamat sampai ke destinasi yang dituju.

'Petua Emas Keselamatan Jalan Raya' bagi pemandu kereta adalah:-

*Rancang perjalanan terlebih dahulu.Jika mengantuk, tangguhkan perjalanan. Pastikan keadaan tayar, brek dan lampu isyarat berfungsi dengan baik.

*Pakai tali pinggang keledar tempat duduk depan dan belakang.

*Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.

*Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong.

*Berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning.

*Beri keutamaan kepada pejalan kaki.

*Elakkan daripada mengekori kenderaan lain dalam jarak dekat.

*Jangan memotong jika teragak-agak.

*Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan.

*Elakkan mencelah antara kenderaan lain kerana ia membahayakan keselamatan anda dan orang lain.

Penunggang dan pembonceng motosikal pula digalakkan memakai topi keledar yang mendapat kelulusan SIRIM dan ketatkan tali topi keledar serta memakai baju berwarna cerah atau jaket pemantul cahaya agar mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain. BERNAMA

ADS