Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penerima biasiswa k'jaan boleh sokong pembangkang: Khalid

Penerima biasiswa dan bantuan kerajaan boleh menyokong pembangkang kerana bantuan yang disalurkan itu bukannya datang dari poket para pemimpin tetapi dari sumber kekayaan negara, kata seorang pemimpin PAS Khalid Samad.

Beliau, yang juga ahli jawatankuasa lajnah politik parti itu, berkata soal "berterima kasih" - seperti yang sering diuar-uarkan pemimpin BN dalam kempen-kempen pilihanraya - hanya akan digunakan oleh pemimpin-pemimpin yang terdesak.

"Saya rasa kita perlu berterima kasih, pertama sekali kepada tuhan, sebab itulah kita perlu taat kepada perintahnya dan mendukung perjuangan politik yang telah ditetapkannya kepada kita," kata ahli parlimen PAS itu.

Beliau seorang penerima biasiswa kerajaan ketika melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada hujung 1970-an.

"Nombor dua, kita mesti berterima kasih kepada negara sebab duit yang digunakan untuk biasiswa kita itu bukanlah daripada poket mana-mana individu, tetapi daripada kekayaan negara," kata Khalid, graduan Universiti Leeds dalam bidang kejuruteraan petroleum.

"Sebab itulah kita mesti mengejar agenda yang bertujuan ke arah menjadikan negara lebih baik," katanya lagi dalam satu temuramah eksklusif dengan Malaysiakini pada hujung minggu lalu.

Khalid, ahli parlimen Shah Alam, berkata penerima biasiswa kerajaan yang kemudiannya menjadi penyokong dan pemimpin pembangkang dulu tidak dipandang serong, tidak seperti yang berlaku pada hari ini.

Boleh terima biasiswa

Dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang sedang berlangsung sekarang, isu "berterima kasih" juga dilihat sering digunakan pemimpin BN dalam ceramah-ceramah untuk meraih sokongan daripada pengundi di kawasan tersebut.

"Saya tidak melihat apa-apa percanggahan dan saya rasa pada masa itu, pemimpin-pemimpin pada masa itu ada pemahaman seperti ini.

"Hanya apabila mereka menjadi terdesak dan mereka sendiri tahu bahawa mereka (bukan seorang pemimpin) yang baik untuk negara ini, barulah mereka menggunakan hujah seperti ini.

Tambahnya lagi, seseorang yang mengambil pendirian berbeza juga diterima, malah dihormati ketika era kepimpinan perdana menteri kedua dan ketiga, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

"Pada masa itu, anda boleh menerima biasiswa dan kemudian buatlah apa yang anda fikir baik untuk negara. Mereka akan cuba yakinkan anda bahawa mereka melakukan khidmat yang baik untuk negara, tetapi jika anda tidak bersetuju, pendapat itu diterima, malah juga dihormati pada tahap tertentu," katanya, menceritakan pengalamannya ketika mula bergiat dalam gelanggang politik nasional.

"Ketika saya balik (daripada melanjutkan pelajaran pada 1979), saya melapor diri untuk bertugas dan diberikan pilihan sama ada untuk menyertai Petronas atau Sirim, kedua-duanya baru ditubuhkan pada masa itu.

Bertanding pilihan raya

"Saya memilih untuk menyertai Petronas kerana mereka lebih (terlibat) dalam minyak dan gas. Tetapi saya tidak pernah ditanya mengenai penglibatan saya dalam PAS ketika saya di Petronas.

"Pada masa itu, saya telah memegang jawatan seperti ahli jawatankuasa pusat untuk sayap Pemuda PAS sejak 1983," tambahnya.

Jelasnya lagi, beliau hanya meletak jawatan daripada syarikat berkaitan kerajaan itu pada 1986 kerana ingin bertanding kerusi parlimen Kuala Krai dalam pilihan raya umum pada tahun berkenaan.

"Pegawa-pegawai Petronas memberitahu saya bahawa tidak ada sebab-sebab yang memerlukan saya untuk letak jawatan.

"Tetapi saya rasa saya tidak mahu memalukan pengurusan Petronas untuk menghadapi situasi di mana saya bertanding sebagai calon pembangkang dan saya rasa tidak adil untuk mereka, jadi saya letak jawatan pada 1986 dan bertanding," kata Khalid.

Jelasnya lagi, beliau tidak pernah disoal siasat oleh mana-mana pegawai Petronas mengenai penglibatannya bersama parti Islam sebelum itu.

"Jadi tidak ada sesiapa yang siasat atau persoal etika mengenai penglibatan saya sebelum itu, dan saya rasa ramai yang terkejut mengapa saya sanggup tinggalkan Petronas, tetapi mereka hormati keputusan saya untuk berbuat demikian," tambahnya.

ADS