Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isteri parah ditetak suami selepas tuntut fasakh
Diterbitkan:  Oct 6, 2009 4:41 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Seorang isteri yang menuntut fasakh cedera parah ditetak suaminya dengan sebilah parang panjang di Lorong Seri Kuantan 65 dekat Kuantan semalam.

Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, mangsa, seorang kerani berusia 24 tahun, dipercayai bertengkar dengan suaminya yang berusia 33 tahun mengenai tuntutan fasakh di hadapan pejabat wanita berkenaan.

Beliau berkata pertengkaran pasangan yang telah mendirikan rumahtangga selama tiga tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia setahun enam bulan itu kemudian disedari abang wanita itu yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

"Abang wanita itu meminta lelaki terbabit menjauhi adiknya sebelum dia bertindak menelefon pihak polis kerana mengganggu mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di Kuantan hari ini.

Katanya lelaki terbabit sebaliknya menerkam serta memaksa isterinya itu masuk ke dalam keretanya sebelum berlaku pergelutan.

Noor Asyikin berkata lelaki terbabit kemudian mengeluarkan sebilah parang panjang dari dalam keretanya lalu bertindak ganas dengan menetak isterinya di bahagian belakang badan.

Wanita berkenaan kemudian berlari ke arah abangnya, namun suaminya itu terus mengamuk dan turut mencederakan abang mangsa sebelum melarikan diri, katanya.

Ekoran kejadian itu, wanita tersebut mengalami cedera parah di belakang badan dan pinggangnya sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk mendapat rawatan lanjut.

Abang mangsa yang berusia 33 tahun pula terpaksa menerima beberapa jahitan di bahagian kening sebelah kiri.

Noor Asyikin berkata wanita terbabit pernah membuat laporan polis pada 30 Sept lepas selepas suaminya mengugut untuk membunuhnya berhubung perkara sama.

Katanya, lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk samun dan ugut itu kini diburu polis. BERNAMA

ADS