Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib lancar parti Makkal Sakti Malaysia
Diterbitkan:  Oct 10, 2009 6:23 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Berucap melancarkan parti politik baru - Makkal Sakti Malaysia - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat India di negara ini tidak akan terpinggir daripada sebarang pembangunan dan kemajuan yang diberikan oleh kerajaan kerana mereka adalah rakyat Malaysia yang akan sentiasa didahulukan.

Najib berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang bertuah kerana dianugerahkan dengan pelbagai kekayaan dan masyarakat India seperti juga masyarakat lain di negara ini, turut menyumbang ke arah kekayaan itu.

Katanya, kedatangan awal masyarakat India ke Tanah Melayu sebagai pekerja di ladang getah dan terlibat secara langsung dalam pembinaan landasan keretapi telah banyak membantu ke arah pembangunan negara ini.

"Oleh itu maka adalah adil bagi kita untuk memberi apa yang patut kita berikan kepada masyarakat India. Kita akan berikan apa yang patut kaum Melayu miliki kepada kaum Melayu, kita akan berikan apa yang patut kaum Cina miliki kepada kaum Cina dan kita akan berikan apa yang patut kaum India miliki kepada kaum India. Inilah hasrat kerajaan," katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan di bawah pentadbiran beliau akan sentiasa berpaksikan kepada falsafah 1Malaysia dalam menggubal program yang akan memberikan keadilan kepada semua lapisan masyarakat.

Dalam hal ini, katanya pelbagai usaha untuk menaik taraf masyarakat India termasuk membangunkan mereka daripada aspek pendidikan dan sosioekonomi telah dilaksanakan, termasuk menaik taraf Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara dan menambah peratus pekerja India dalam sektor awam.

"Banyak yang kita buat untuk masyarakat India umpamanya dengan memberikan peruntukan untuk SJKT baru-baru ini berjumlah lebih RM100 juta untuk menaik taraf SJKT seluruh negara, memberi RM15 juta untuk TEKUN (Nasional) memberi mikrokredit bagi masyarakat India memulakan perniagaan, memberi kuota sebanyak 15 peratus dalam saham amanah 1Malaysia dan melatih 2,635 belia India dalam

pelbagai bidang kemahiran.

"Yang terbaru kerajaan akan membina asrama 1Malaysia supaya pelajar daripada pelbagai kaum boleh tinggal dalam satu asrama dan dihantar ke sekolah-sekolah terbaik di sekitar Lembah Klang terutamanya di Kuala Lumpur," katanya.

Kesemua bantuan tersebut, kata Najib, adalah titik permulaan bantuan kerajaan terhadap masyarakat India negara ini yang akan diteruskan selagi mereka bersedia membantu dan menyokong kepimpinan kerajaan.

"Bila kaum India bangun berdiri bersama-sama kerajaan, kita akan terus membantu kaum India untuk mendapat apa yang patut mereka miliki," katanya.

Janji itu, kata beliau adalah janji yang akan ditunaikan selaku perdana menteri yang bertunjangkan kepada prinsip keadilan untuk semua.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata bekerjasama dengan kerajaan adalah medium terbaik untuk mana-mana individu menyalurkan pendapat dan seterusnya mengambil tindakan untuk merealisasikan matlamat pihak yang mereka wakili.

"Jalan yang terbaik untuk membantu kaum India ialah dengan memberi kerjasama dan sokongan padu kepada kerajaan yang ada hari ini sebab jawapannya bukan dengan demonstrasi jalanan, bukan dengan kira bersorak-sorai, bukan dengan kita berkumpul untuk melakukan demonstrasi dan sebagainya.

"Jalan yang terbaik ialah untuk bekerjasama dengan kerajaan melalui Makkal Sakti dan kita boleh duduk semeja untuk berbincang apa yang patut kita lakukan.

"Ini cara terbaik, cara yang akan membina masa depan, cara yang akan membawa negara sebagai sebuah negara yang kuat, berjaya dan dihormati," katanya.

- Bernama

ADS